SHAH ALAM: Selepas 15 tahun berdiam diri, kumpulan Lefthanded kembali menggegarkan persada seni muzik tempatan semula bermula tahun ini.Menurut vokalisnya, Nash atau Nashrudin Elias, sebagai langkah permulaan, Lefthanded yang terdiri daripada empat orang termasuklah Man Kidal (Abdul Rahman Mahmood), Man Dayak (Rahman Othman) dan Yan (Amran Marsiman) bakal mengadakan konsert pada bulan Disember depan. "Sudah tiba masanya untuk Lefthanded muncul kembali dan rasanya peminat-peminat sedang menunggu persembahan konsert ini."Bagaimanapun ia bukan mudah untuk dilaksanakan kerana sudah lama kami senyap, tetapi bersyukur kerana barisan pemuzik kami terdiri daripada golongan profesional dan ia sedikit sebanyak memudahkan perancangan konsert kami," katanya.Dalam pada itu, beberapa buah kumpulan seperti May dan XPDC akan menjadi penyanyi undangan pada konsert itu nanti.Tambah Nash, walaupun mengambil masa yang lama untuk kembali,mereka tidak merasakan ia satu kerugian kerana menganggap kemunculan itu sebagai takdir yang telah ditentukan Ilahi."Menyertai industri muzik tempatan memerlukan semangat yang kuat tambah pula graf kedudukan seseorang penyanyi itu ada kalanya naik dan turun."Oleh itu, sepanjang 15 tahun ini, kami sibuk dengan keluarga dan pada masa yang sama mengukuhkan ekonomi masing-masing. Dan seperti biasa, masalah untuk mendapatkan penaja juga merupakan salah satu punca. Justeru itu, kali ini kami tampil dengan semangat dan keyakinan yang baru," ujarnya.Untuk persiapan awal konsert itu, kumpulan itu akan merakamkan sebanyak dua buah lagu baru menjelang bulan puasa nanti sebagai buah tangan baru kepada para peminat.Sementara itu, Lefthanded juga bakal muncul bersama-sama kumpulan XPDC dan May menerusi program “3 Gegaran” bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 4 September depan, pukul 5 petang.