IncubusKUALA LUMPUR: Kumpulan Incubus berkata antara faktor yang menyebabkan mereka terus bertahan selama 20 tahun disebabkan perjuangan muzik mereka tanpa terikat dengan senario muzik perdana."Mungkin antara faktor yang membuatkan kami terus bertahan adalah kerana penawaran muzik yang diberikan kepada peminat. "Selama 20 tahun dalam bidang ini, kami tidak pernah terikat atau terperangkap dalam arus perdana yang serba mencabar dan glamor ini."Sebaliknya, Incubus berjuang di atas trek sendiri dan di luar lingkungan muzik perdana yang penuh cabaran itu," kata pemain gitarnya, Mike Einziger yang ditemui pada sesi temu ramah di Hotel Doubletree by Hilton, di sini, Jumaat.Tambahnya, mereka cukup bertuah kerana terus bertahan dan mampu berkarya sehingga ke hari ini walaupun berada dalam arus muzik yang berbeza dan penuh mencabar."Kalau diperhatikan, senario muzik semasa telah berubah dengan drastik dan berbeza sejak lima tahun lalu."Pengaruh kemajuan teknologi dan selera muzik telah banyak mengubah landskap muzik."Sepanjang 20 tahun berada di dalam industri muzik, kami telah melihat banyak kumpulan dan artis yang popular pada lima atau 10 tahun lalu kini telah tiada lagi," katanya.Menjelang konsert Incubus Live in Kuala Lumpur 2011 di Stadium Negara pada malam Sabtu, Incubus mengakui tidak sabar untuk menampilkan persembahan sebaik mungkin untuk peminat di sini."Kami tahu para peminat sudah tidak sabar untuk melihat aksi kami selepas beberapa tahun menyepi."Kami berjanji untuk mempersembahkan sebuah konsert yang hebat dan sebaik mungkin pada malam esok (malam ini)," kata pemain “turntable”, Chris Kilmore.Kunjungan kali ketiga mereka ke sini adalah bersempena dengan kemunculan album studio ketujuh iaitu If Not Now, When?Album yang memuatkan 11 trek itu berada di pasaran sejak 12 Julai lalu.Sejak ditubuhkan pada 1991, kumpulan yang dianggotai oleh Brandon Boyd (vokal), Mike Einziger (gitar), Jose Pasillas (dram), Ben Kenney (bass) dan Chris Kilmore (turntable/keyboard) itu sudah menjual lebih 13 juta unit album di seluruh dunia.Berasal dari Calabasas, California, Amerika Syarikat, Incubus mula memberikan impak selepas kemunculan lagu-lagu seperti Pardon Me, Stellar dan Drive yang dipetik dari album ketiga, Make Yourself.Album keempat mereka iaitu Morning View (2001) menampilkan lagu-lagu hit seperti Wish You Were Here, Nice to Know You dan Warning.Album studio kelima A Crow Left of the Murder yang dipasarkan pada 2004 menampilkan lagu hit Megalomaniac.Album studio keenam iaitu Light Grenades muncul di tangga pertama dalam carta Billboard 200 walaupun penjualan yang sedikit menurun.Sepanjang berehat selama dua tahun bermula 2009, kumpulan ini sempat tampil dengan album kompilasi Monuments and Melodies yang memuatkan lagu-lagu popular mereka.Layari www.enjoyincubus.com untuk maklumat lanjut tentang aktiviti terbaru Incubus.Incubus Live in Kuala Lumpur 2011 dianjurkan oleh Pineapple Concerts dengan kerjasama Tune Talk Mobile Prepaid.