suria

Fathia Tepis Tuduhan Sudah Besar Kepala

KUALA LUMPUR: Pelakon Nur Fathia Latiff, 23, yang mesra disapa Fathia menyangkal dakwaan yang mengaitkan dirinya sebagai artis bermasalah susulan insiden terbaru kononnya dia semakin besar kepala sehingga gagal muncul di lokasi penggambaran sebuah drama baru-baru ini.

Menurut heroin drama Stanza Cinta itu, dia semakin pelik dengan pelbagai kontroversi yang dilemparkan kepadanya sejak kebelakangan ini sedangkan semua dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan ditokok tambah.

"Saya semakin pelik dengan pelbagai gosip yang melanda akhir-akhir ini. Walhal, sebelum ini saya sudah terlibat dengan pelbagai drama dan filem tetapi tidak pernah pula mendapat respons negatif daripada produksi terbabit.

"Kenapa saya harus berubah sikap menjadi seorang yang besar kepala dan berlagak tidak bertempat pula sekarang ini?

"Namun, apa yang mampu saya jelaskan dakwaan-dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan sengaja diperbesarkan oleh pihak yang tidak senang dengan saya," luahnya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, sebagai orang baru dalam dunia lakonan apa yang termampu dilakukannya adalah untuk tidak melenting dan bersabar menghadapi tohmahan tersebut.

"Selepas isu baling telefon, kini saya didakwa tidak berdisiplin dan besar kepala pula. Saya hanya mampu bersabar dan akur menghadapinya.

"Kejadian yang berlaku ini membuka mata bahawa ada ramai individu yang tidak boleh dipercayai dan hanya bermulut manis di depan saja.

"Walaupun saya telah memberikan komitmen terbaik dan bersikap sebaik mungkin, ada juga yang gemar menyampaikan cerita buruk tidak berasas," katanya yang tidak akan patah semangat atau serik dengan gosip-gosip yang timbul.

Menyentuh jadual seninya, Fathia akan terus sibuk dengan komitmen lakonan menjelang bulan Ramadan pada minggu depan, selain bakal terlibat dengan sebuah filem antarabangsa arahan pengarah dari “China”.

"Sekarang, saya sedang sibuk dengan penggambaran sebuah telefilem di samping Fizz Fairuz arahan Wan Asliza.

"Saya juga akan terlibat dengan filem berjudul Nasi Lemak 2.0 arahan pengarah China, Namewee di samping Afdlin Shauki, penyanyi Reshmonu dan model Nadine tidak lama lagi," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain