Zakiah AnasPETALING JAYA: Suami kepada personaliti TV3, Zakiah Anas,45, pada Isnin, memberitahu bahawa dia tidak bersetuju dengan saranan Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini yang mencadangkan agar pasangan tersebut berpisah secara khuluk (tebus talak).Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohamed membuat saranan itu mengikut Seksyen 48(6) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 selepas meneliti laporan wakil hakam (penimbang tara) yang dilantik untuk mencari jalan penyelesaian kemelut rumah tangga yang telah berlarutan selama tiga tahun. Dalam majlis hakam itu, Zakiah diwakili oleh peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie manakala suaminya, Mohamad Yusof @ Muhamed Yusof Taib,49, diwakili Tuan Mohd Zamani Tuan Ahmad yang merupakan imam di Masjid Kampung Johan Setia, Wangsa Maju, dekat sini.Pada prosiding itu, Wan Mahyuddin juga mengambil kesempatan untuk menyoal wakil-wakil hakam berkenaan mengenai saranan khuluk.Kedua-dua wakil hakam tersebut memberitahu, tiada persetujuan mengenai khuluk dicapai dan mereka juga tidak bersedia untuk melafazkan khuluk, meskipun diberi kuasa untuk berbuat demikian mengikut undang-undang.Justeru itu, Wan Mahyuddin memutuskan bahawa wakil hakam itu dibatalkan dan satu wakil hakam yang baru akan dilantik."Mahkamah melantik proses hakam yang sama untuk kali ketiga yang terdiri daripada pegawai-pegawai sulh," tambah Wan Mahyuddin.Beliau seterusnya menetapkan 16 Ogos depan untuk sebutan semula bagi melantik wakil hakam.Terdahulu, Muhamad Yusof yang pernah berkhidmat dalam bidang media masih mempertahankan pendiriannya untuk tidak melepaskan Zakiah, meskipun wakil hakam telah memutuskan bahawa ikatan kasih sayang tidak lagi wujud dalam perkahwinan itu.Dakwa Muhamad Yusof, dia tidak pernah diberikan peluang untuk berbincang dengan Zakiah yang telah memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik daripadanya."Saya terkilan perkahwinan yang dibina sejak 18 tahun lalu dibiarkan begitu sahaja dan turut kasihan dengan anak-anak yang telah ditinggalkan," katanya.Muhamad Yusof seterusnya mendakwa, dia dan Zakiah telah tinggal berasingan sejak tiga tahun lalu dan wanita itu turut mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu.Muhamad Yusof seterusnya memohon agar mahkamah memerintahkan Zakiah untuk meminda permohonannya kepada perceraian secara fasakh, sekiranya masih mahu berpisah.Bagaimanapun, peguam syarie Abdullah Anuar Sahri yang mewakili Zakiah memberitahu, anak guamnya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.Kemelut rumah tangga pasangan tersebut bermula sejak tahun 2009 apabila Zakiah memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, dekat sini.Dia kemudiannya meminda permohonan itu sebanyak dua kali, iaitu kepada fasakh dan taklik sebelum menarik semula permohonan pada 1 September 2009 yang menyebabkan Mohamad Yusof, menarik semula permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkannya.Pada Januari 2010, Zakiah sekali lagi memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik yang berlanjutan sehingga kini.Zakiah dan Mohamad Yusof dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Aiman Muzammil, 17, dan Amir Muzhaffar, 15 tahun.