PETALING JAYA: Penyanyi Ziana Zain terpaksa menolak beberapa undangan untuk rakaman program Hari Raya yang biasanya dilakukan pada bulan Ramadan bagi memberi perhatian kepada keluarga.Tambahnya, dia ingin memberi tumpuan dan sokongan kepada kedua-dua cahaya matanya yang kini sudah mula berpuasa. "Saya terpaksa tolak beberapa rakaman raya sebab ingin menguruskan rumah tangga, saya nak buat persiapan buka untuk keluarga."Ditambah pula tahun ini kedua-dua anak saya sudah mula berpuasa dan saya mahu memberi sokongan kepada mereka," katanya.Bagaimanapun, Ziana akan meluangkan waktu untuk berbuka puasa bersama anak yatim di Bukit Bintang dan Plaza Masalam pada pertengahan bulan ini.Sementara itu ketika ditanya tentang persiapan menyambut Hari Raya, Ziana memberitahu tidak membuat sebarang rumah terbuka untuk peminatnya."Saya tidak buat rumah terbuka sebab kami masing-masing sibuk dengan keluarga, manakala kedua-dua ibu bapa saya pula sudah tua dan tidak larat untuk melayan tetamu."Lagi pula masa Hari Raya inilah kami sekeluarga ingin meluangkan masa bersama tanpa gangguan orang luar," jelasnya.Sementara itu ditanya tentang perkembangan terbaru, Ziana bakal keluar dengan “single” terbaru bersama Suhaimi Mior Hasan berjudul Misteri Cinta.Dia turut akan mengadakan konsert khas sempena Hari Raya di Esplanade, Singapura bersama adiknya Anuar Zain pada 30 September depan.