suria

Dayang Tak Harap Jualan Album Tinggi

Dayang Nurfaizah foto ROHAIZAT MD DARUS
Dayang Nurfaizah foto ROHAIZAT MD DARUS
Dayang Nurfaizah foto ROHAIZAT MD DARUS

KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara gemersik, Dayang Nurfaizah mengakui tidak meletakkan harapan tinggi terhadap penjualan album barunya Dayang & Cinta yang dipasarkan dua bulan lalu.

Jelas Dayang, dia sedar dengan penjualan albumnya agak lembab, namun apa yang penting ialah produknya kini sudah berada di pasaran.

"Album saya baru dua bulan lebih berada di pasaran dan belum lagi tahu berapa penjualannya, namun saya sedar trend sekarang memang penjualan album fizikal lembab kerana banyak medium lain untuk mendapatkan lagu.

"Secara jujur saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk penjualan album tersebut, cukuplah jika ia terjual lebih 10 ribu unit.

"Bagi saya, apa yang penting ialah album saya keluar dan berada di pasaran," katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Dayang Nurfaizah Bersama 106 kanak-kanak Istimewa, di One Bangsar, di sini, Selasa.

Tambahnya, sebagai artis dia hanya mampu berusaha untuk memberikan yang terbaik dan terpulang kepada peminat untuk menilai dan mendapatkan hasilnya.

"Pada masa sekarang saya sendiri keliru apa formula yang paling sesuai yang peminat mahu. Ada yang lebih suka mendapatkan lagu tersebut melalui muat turun, ada juga yang mahu album fizikal.

"Pada saya sebagai artis saya hanya berusaha untuk memberi yang terbaik dan sedar bahawa kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak," katanya.

Biarpun kurang menonjol berbanding artis-artis lain pada tahun ini, Dayang mengakui rezeki terhadap jemputan persembahan masih seperti dahulu.

"Alhamdulillah biarpun bukan kepada album tapi rezeki jemputan untuk persembahan pentas masih banyak.

"Walaupun tidak terlalu mewah ia boleh dikatakan berbaloi dan cukup untuk menampung kehidupan saya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain