suria

'Ratapan Syawal' Kisah Kesedihan Fazli Zainal

PETALING JAYA: Penyanyi Fazli Zainal mengakui menitiskan air mata apabila pertama kali menonton klip video lagu Ratapan Syawal nyanyiannya yang baru sahaja disiapkan pada awal Ramadan lalu.

Jelas Fazli, klip video tersebut sedikit sebanyak ada menyentuh kehidupannya sebagai anak yatim piatu yang menyambut Hari Raya tanpa kedua-dua ibu bapa.

"Hati saya tersentuh dan menangis ketika pertama kali melihat klip vidoe ini. Ia menceritakan kisah seorang anak yatim piatu yang terkenang kehidupannya ketika ibunya masih ada.

"Sebagai seorang yang beraya bersendirian sudah tentu lagu ini meninggalkan kesan pada saya lebih-lebih lagi apabila ia dijadikan klip video," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Tambah Fazli, lagu ciptaan Hazami itu pada mulanya diminta untuk dijadikan lagu tema sebuah drama, namun pengarah Shuhaimi Lua meminta untuk dijadikan sebuah klip video.

"Mengikut perancangan awal Shuhaimi ini menjadikan lagu tersebut sebagai lagu tema untuk sebuah drama, namun apabila melihat liriknya yang mempunyai jalan cerita menarik, dia meminta agar ia dijadikan sebuah klip video untuk Aidilfitri.

"Kami memulakan proses pembikinan seminggu sebelum menyambut puasa dan melakukan penggambaran tersebut di Janda Baik, Pahang," katanya.

Video klip tersebut turut dilakonkan oleh Fadilah Mansor dan bintang baru Faiz Fadzil.

Tambah Fazli, ia sudah pun siap sepenuhnya dan bersedia untuk disiarkan di televisyen bermula minggu hadapan.

Ia juga boleh ditonton menerusi Youtube menerusi: http://www.youtube.com/watch?v=hwxeoE3ikA4&feature=share

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain