suria

Hans Isaac Sudah Maafkan Orang Lain

PETALING JAYA: Sempena menyambut kelahirannya ke-40 pada Sabtu, pelakon Hans Isaac (gambar) berazam untuk memaafkan orang yang pernah menipu dan menganiaya dirinya serta jika dia yang bersalah, dia mahu memohon maaf daripada orang berkenaan.

Jelas Hans, hasrat itu diluahkan secara spontan dan rasional setelah berbual dengan rakan-rakannya pada Jumaat malam lalu.

“Pada usia sekarang ini, saya tidak mahu menyimpan perasaan marah dengan sesiapa lagi. Apabila saya bertemu dengan sesiapa sahaja, saya nak terima mereka seperti saya pertama kali bertemu dengan mereka.

“Jika berjumpa dengan orang yang pernah bersalah dengan saya, saya akan menegur dan menghormati orang itu dengan cara yang ikhlas. Tetapi dalam hal ini, saya yang nak berubah dan tidak memaksa orang lain untuk berubah. Jadi, terpulang sama ada orang yang berkenaan sudah memaafkan saya atau tidak,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam perkembangan lain, Hans baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama 7 Gerhana yang mengisahkan seorang wanita yang melalui liku-liku hidup yang penuh ranjau dan mendirikan rumah tangga sebanyak tujuh kali.

Dilahirkan dengan tali pusat tujuh warna seperti warna pelangi, bidan yang menyambutnya meramalkan dia akan mengharungi tujuh rintangan besar dalam kehidupan.

Drama 13 episod arahan Amar Dilon dan lakonan Hans, Vanidah Imran, Omar Abdullah, Kay Maria dan Andrea Abdullah itu akan disiarkan di Astro Prima (saluran 105) pada November tahun ini.

Biarpun turut terlibat sebagai penerbit drama tersebut, Hans memberi kebebasan dan selesa mengikut rentak Amar sebagai pengarahnya.

“Di lokasi penggambaran, saya tidak masuk campur untuk mengarah drama tersebut tetapi seronok melakukan kerja saya sebagai pelakon.

“Tetapi sebelum kami memulakan penggambaran, saya terlebih dahulu memberikan panduan kepada Amar tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukan.

“Ini kerana saya perlu memastikan drama ini merupakan produk yang bagus dan mencecah rating yang tinggi,” katanya.

Jelas Hans, dia mempercayai Amar kerana telah mendidik lelaki itu dalam bidang pengarahan dan mengambil Amar berkhidmat di bawah syarikatnya, Tall Order Production Sdn Bhd.

“Saya lebih seronok berlakon dan hanya menunggu dialog yang perlu dilakonkan. Dalam drama itu, saya berlakon sebagai watak salah seorang suami kepada wanita itu yang dilakonkan oleh Vanidah,” tutur pengarah filem Cuci ini.

Selain itu, dia sedang sibuk dengan pengambaran filem Langgar arahan Sein Ruffedge. Dalam filem ini, dia melakonkan watak seorang gangster dan penggambarannya mengambil masa selama 30 hari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain