suria

Watak Antagonis Tonjol Tasha Shilla

Tasha Shilla
Tasha Shilla
Tasha Shilla

SERING mendapat watak antagonis, pendatang baru Tasha Shilla Razak mengakui kekuatannya dalam memegang watak tersebut lebih menyerlah. Malah melalui watak-watak jahat itu juga namanya sedang meniti di bibir pengarah-pengarah drama dan filem tempatan.

Wanita berusia 24 tahun yang memegang watak Cikgu Ruhana dalam drama Gemilang ini juga mengakui raut wajah garang dimilikinya menjadi nilai tambah untuk mendapat watak tersebut.

"Saya akui watak-watak antagonis telah membuatkan nama saya lebih dikenali, sebelum ini saya banyak membawakan watak-watak baik tetapi ramai tidak sedar kewujudan saya.

"Selepas berlakon dalam drama Gemilang dan Sahara nama saya semakin dikenali dan banyak tawaran yang saya terima terutamanya membawakan watak sebegitu," jelasnya.

Bagaimanapun, Tasha tidak mahu kemampuannya hanya terbatas kepada satu-satu watak sahaja. Kini dia cuba membuktikan bakat terpendam bukan hanya melakonkan watak jahat dan dibenci orang tetapi juga watak lemah-lembut dalam drama bersiri Ramadan Terakhir yang sedang ditayangkan di TV3.

"Sebagai pelakon saya mahu bakat saya diterokai dengan lebih banyak lagi, bukan sahaja dengan watak antagonis.

"Tapi buat masa sekarang saya tidak boleh terlalu memilih kerana masih lagi baru, tapi jika diberi peluang saya mahu watak-watak yang mencabar kemampuan saya," katanya.

Kemunculan bakat-bakat baru dalam industri hiburan tempatan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, masing-masing datang dengan pakej lengkap sebagai seorang artis.

Justeru itu, Tasha yang sedar tentang persaingan tersebut yakin dengan kelebihan yang ada pada dirinya dapat membezakan dia dengan artis muda lain.

"Saya banyak persaingan dalam industri lakonan tapi saya yakin dengan usaha, disiplin dan bakat menjadikan kita lain daripada pelakon lain," tuturnya.

Bercerita tentang teman istimewa, Tasha mengakui belum bertemu seseorang untuk mengisi hatinya.

Katanya dia lebih memilih untuk bercinta selepas berkahwin, malah dia juga tidak menolak jika pasangan hidupnya ditentukan oleh keluarga.

"Sekarang saya tiada masa untuk bercinta kerana terlalu fikir pasal kerjaya dan kalau boleh saya tidak mahu bercinta terlalu lama.

"Saya tidak kisah jika pilihan hidup saya ditentukan oleh keluarga kerana saya percaya dengan restu mereka kehidupan lebih bahagia," katanya.

Melalui asam garam kehidupan artis, Tasha mengakui ada cakap-cakap belakang mengatakan dia memasuki bidang seni hanya untuk mencari lelaki kaya atau VIP.

Namun dia tidak pernah mengambil pusing dan menganggap perkara tersebut hanya sekadar omongan kosong.

"Jika saya mahu mencari lelaki kaya sejak dahulu lagi semasa saya bekerja sebagai jurujual di sebuah butik terkemuka sebelum menjadi artis.

"Tapi bukan itu yang saya cari, hala tuju saya jelas ingin berada dalam industri adalah untuk mempertaruhkan bakat yang ada," katanya.

* Artikel ini dipetik dari Mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain