suria

Zee Avi Lancar Album Terbaru 'Ghostbird'

KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran Malaysia, Zee Avi, 26, yang menetap di New York, Amerika Syarikat melancarkan album terbarunya berjudul Ghostbird.

Album kedua hasil kerjasama komposer dari Amerika Syarikat Jack Johnson itu dikeluarkan oleh syarikat rakaman Brushfire Record.

“Lebih dari separuh lagu dalam album tersebut ditulis di Florida yang mana saya menghabiskan masa tiga bulan dalam sebuah bot di tengah lautan,” katanya pada sidang media yang dilakukan melalui Skype dari New York, di sini, Isnin.

Katanya, tajuk album tersebut diambil bersempena kekagumannya terhadap burung hantu.

“Saya selalu memikirkan mitos yang berkaitan dengan burung hantu, justeru mengambil nama Ghostbird menjadi tajuk album ini” katanya.

Album itu mengandungi 11 buah lagu, bermula dengan single pertama yang berjudul Swell Window.

Tambahnya, album tersebut lebih bertemakan tentang peredaran masa dan perubahan alam yang disusun oleh produser Mario Caldato Jr.

Antara lagu lain dalam album tersebut iaitu The Book of Morris Johnson yang dicipta sendiri oleh Morris Johnson, Stay In The Clouds, 31 Days in June dan Siboh Kitak Nangis yang menggunakan dialek Sarawak.

Ghostbird merupakan album kedua selepas album pertama Zee Avi dilancarkan pada dua tahun lalu yang memperkenalkan lagu hits Bitterheart dan Kantoi.

Penyanyi berasal dari Miri, Sarawak ini memulakan kerjaya dalam bidang nyanyian pada awal 2008 di Los Angeles sebelum berpindah ke New York.

Katanya, dia kini merancang untuk kembali ke Malaysia bagi rangka promosi album terbarunya itu.

Artikel Lain