suria

Cinta & Kerjaya Dalam Diri Qushairi

Qi Razali
Qi Razali
Qi Razali

SEBELUM ini, Qi atau nama sebenarnya, Qushairi Mohammed Razali hanya dikenali sebagai si penulis blog dan pelukis komik menerusi drama Blogger Boy pada dua tahun lalu.

Senyap buat seketika, tahun ini, wajah Qi lebih kerap dipaparkan di televisyen sebagai pengacara mengendali pelbagai program yang antaranya seperti Jalan-Jalan Cari Makan musim ketiga (JJCM3), Bazaar @ Ramadhan dan Field Trip USA.

Rezeki Qi tidak terhenti begitu sahaja. Sebaliknya dia diberi peluang mewakili Asia mengendalikan program kanak-kanak, Art Attack yang akan disiarkan bermula 16 September depan di Disney Channel (Astro saluran 615).

Bagaimanapun, terlalu kerap terpampang di televisyen juga membuatkan dirinya kurang senang kerana risau jika penonton-penonton rimas dengan penampilannya yang kerap.

Kata Qi, memandangkan dia mempunyai bakat sebagai pengacara, lakonan dan muzik, dia mahu mengimbangkan ketiga-tiga bidang tersebut agar peminat-peminatnya tidak bosan dengan dirinya.

"Kalau boleh, saya tak mahu melakukan satu perkara sahaja walaupun pengacaraan merupakan fokus utama saya, maklumlah, takut peminat bosan pula.

"Nak kata mahu menjaga nilai eksklusif juga tidak. Bagi saya, biarlah peminat boleh melihat saya daripada pelbagai sudut. Mungkin selepas JJCM3, saya akan berehat seketika dan berlakon pula," ujarnya.

Bercerita pula mengenai pengacaraan Art Attack, Qi juga tidak sangka dia dipilih selepas melakukan beberapa uji bakat.

Bagaimanapun, penggambaran yang diadakan selama hampir dua bulan di Argentina memberi satu pengalaman yang besar buat anak kelahiran Pulau Pinang ini.

"Terasa seperti kanak-kanak semula apabila mengendalikan program Art Attack ini. Ini kerana saya perlu membuat demonstrasi karya-karya seni khas untuk kanak-kanak.

"Sedikit berbeza pengacaraannya berbanding dengan program-program lain, skrip Art Attack lebih berformat dan saya perlu bercakap menggunakan perkataan yang mudah difahami oleh kanak-kanak," ujarnya.

Dalam pada itu, Qi bukan sahaja menunjukkan kepakaran melukis dan membuat kraftangan seni dalam Art Attack sahaja, tetapi dia juga mengajar pelbagai ilmu kraft yang dipelajari menerusi program tersebut kepada anak-anak buah kesayangannya.

"Bagi saya, seni lukis amatlah penting dalam kehidupan. Begitu juga dengan kanak-kanak yang kini terdedah dengan komputer dan permainan video, ia adalah satu perkara yang tidak menyihatkan.

"Lagipun, melukis dan mewarna dapat menyihatkan serta meningkatkan daya pemikiran kanak-kanak yang sedang membesar," tegasnya.

Muncul dengan single terbaru

Bagi yang belum mengenali Qi, dia sebenarnya merupakan bekas pemain dram kumpulan OAG.

Dan ternyata, minatnya dalam muzik tidak pernah terpadam walaupun sibuk dengan kerjaya pengacaraannya.

Setiap kali mempunyai masa terluang, gitar merupakan teman di sisi untuk menghasilkan pelbagai karya lagu dan tidak lama lagi, Qi bakal muncul dengan single lagu terbaru berjudul Jatuh dalam masa terdekat nanti.

"Mesti ramai yang terkejut apabila mendapat tahu saya akan keluarkan single. Tapi ramai yang tidak tahu bahawa ketika bersama OAG dahulu, saya merupakan penyanyi latar untuk lagu-lagu OAG.

"“Lagu tersebut sudah lama dihasilkan, cuma tak sempat nak membuat pelancarannya. Mungkin selepas Aidilfitri nanti, saya akan hantar lagu tersebut ke stesen-stesen radio untuk dimainkan.

"Selain itu, ada kemungkinan juga saya akan menukar tajuknya kerana ada beberapa penyanyi menggunakan judul Jatuh pada lagu mereka," katanya.

Menarik lagi, Qi dan kekasihnya, Yuna juga sedang merancang menghasilkan lagu duet bersama.

"Setakat ini kami baru sahaja menyiapkan lagu melodinya sahaja. Memandangkan Yuna kini berada di Amerika Syarikat, maka kami sering menghantar e-mel jika ada pembaharuan pada lagu tersebut," ujarnya.

Yuna memahami

Mengusik Qi dengan soalan kisah cintanya dengan Yuna yang semakin mekar itu, kata Qi, dia bersyukur kerana mempunyai seorang kekasih yang mudah memahami.

Walaupun bercinta jarak jauh, hal tersebut bukanlah satu isu buat mereka berdua jika saling mempercayai antara satu sama lain.

"Sekarang ini, kami masih lagi mengejar cita-cita masing-masing. Alhamdulillah, perhubungan kami semakin rapat.

"Walaupun bercinta jarak jauh, itu bukan menjadi satu masalah kerana kita mempunyai telefon dan Internet untuk berhubung," ujarnya.

Ditanya adakah dia akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini memandangkan usianya sudah 34 tahun, kata Qi, perhubungan cinta mereka sedang dalam perjalanan ke arah itu tetapi tidak dalam masa terdekat ini.

"Niat dalam perhubungan kami memang mahu ke arah perkahwinan tetapi sekarang ini, masing-masing sedang mengejar cita-cita.

"Saya percaya, jika sudah sampai masanya, maka bersatulah kami. Memang kami ada berbincang tentang hal ini, tetapi tak adalah serius sangat," selorohnya.

* Artikel ini dipetik dari Mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain