suria

Deejay Lin Pertama Kali Memandu Jauh Pulang Beraya

DJ Lin beramah mesra dengan anak-anak yatim.
DJ Lin beramah mesra dengan anak-anak yatim.
DJ Lin beramah mesra dengan anak-anak yatim.

PENYAMPAI radio Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini penuh bererti kerana dia akan memandu sendiri kereta Persona yang diterimanya baru-baru ke kampungnya di Johor Baru.

Lin yang terkenal dengan segmen Suria Cinta ini hanya bercuti sehari sahaja iaitu pada Hari Raya kedua pada tahun ini.

Sambil bersyukur kepada Ilahi dan berterima kasih kepada Proton, dia berkata, inilah kali pertama dia memandu jauh sekali gus benar-benar menguji skil pemanduannya selepas lulus ujian memandu pada awal Julai lalu.

"Alhamdulillah, saya lulus dengan sekali ujian naik bukit dan parkir. Tahun ini, insya-Allah, saya akan memandu balik kampung untuk beraya," katanya.

Beliau ditemui pada majlis berbuka puasa bersama kelab peminatnya dan anak-anak yatim Rumah An-Najjah di restoran Arab, Sarawabina Cafe, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Dia turut meraikan kira-kira 100 peminat dan anak-anak yatim dan turut menyerahkan cenderahati, barang-barangan keperluan dan duit raya kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Mengulas mengenai aktiviti amal jariah yang dilakukannya, deejay Lin berkata, dia ingin meneruskan tradisi keluarga pada bulan suci ini dengan beramal.

"Apa yang kita terima atau dapat daripada Tuhan, kita kena berikan balik. Pada setiap bulan Ramadan, ibu sering membawa saya bertandang ke rumah anak-anak yatim untuk memberikan sumbangan.

"Oleh itu, saya terpanggil untuk meneruskan tradisi ini dengan memberikan apa-apa sumbangan yang mampu," katanya.

Dia menambah, tanpa sokongan semua pihak dia tidak akan mencapai status dan kedudukan seperti sekarang.

Pada malam itu, para peminatnya datang dari seluruh negara antaranya dari Kedah, Melaka, Nilai dan Lembah Kelang.

Sementara itu dia amat berbangga kerana bilangan rakan Facebook miliknya sudah mencecah angka 52,000 dalam tempoh beberapa bulan.

Artikel Lain