suria

Zul Huzaimy Arah Sembilan Drama Dalam Diam

Zul Huzaimy
Zul Huzaimy
Zul Huzaimy

KUALA LUMPUR: Pelakon Zul Huzaimy Marzuki, 33, (Zul) menyifatkan pembabitannya sebagai pengarah drama telah memberikan kepuasan dan pengalaman berbeza selepas 15 tahun bergelar anak seni.

Menurut Zul, pendedahan dan pengetahuan yang diperoleh sejak mula mengarahkan drama beberapa tahun lalu membuatkan dia lebih mengenali erti lakonan yang sebenar.

"Sejak berjinak-jinak ke bidang pengarahan, saya semakin mengenali erti lakonan yang sebenar. Bukan mudah untuk mengarahkan sesebuah naskhah.

"Cabaran terbesar adalah untuk menterjemahkan skrip kepada visual yang berkesan," katanya yang sudah mengarahkan sembilan buah drama televisyen setakat ini.

Ditanya mengapakah perkembangan kariernya ke bidang pengarahan kurang diketahui walhal dia sudah mengarahkan sembilan buah drama dalam diam, Zul berkata, hal itu terjadi mungkin disebabkan tiada publisiti yang meluas.

"Saya sendiri pun pelik juga kenapa selepas sembilan drama, ramai yang masih tidak tahu saya sudah berjinak-jinak ke bidang pengarahan.

"Bukan mahu bermegah atau menunjuk-nunjuk cuma perkembangan kerjaya itu tidak rugi jika dapat dikongsi dengan orang ramai," katanya yang sudah mengarahkan beberapa drama seperti Rambong, Unjul Nak Jadi Orang dan Alin ke Ilin?

Bercerita lanjut, Zul berkata, dia tidak sabar untuk memulakan tanggungjawab sebagai pengarah filem pula pada Februari depan.

Filem genre aksi berjudul Pailang itu bakal menguji kemampuannya untuk mengarahkan filem sulung.

"Selain sibuk berlakon, saya juga sedang memperkemaskan skrip filem sulung saya berjudul Pailang.

"Insya-Allah jika tiada aral saya akan mula mengarahkan filem itu pada Februari tahun depan di bawah terbitan Tayangan Unggul," katanya.

Mengenai teman istimewa selepas setahun bergelar duda Zul dengan reaksi selamba berkata, sehingga kini dia masih belum menemui teman baru kerana sibuk dengan komitmen kerja dan anaknya, Awal Haziq, 5.

"Saya masih belum ada teman istimewa atau pengganti sehingga kini. Saya sibuk menumpukan perhatian pada kerja dan anak saja.

"Malah, pada waktu ini saya cukup selesa dengan kehidupan begini kerana dapat memberikan lebih perhatian pada anak saya," katanya yang mungkin akan membintangi teater Semerah Padi pada penghujung tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain