Fiza Elite. - Foto oleh SHAARI CHE MATKUALA LUMPUR: Aktres Fiza (Elite) atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 30, meluahkan kesanggupannya untuk meraikan pagi 1 Syawal bersama bekas suaminya Ahmed Farriq Zainul Abidin, 31, demi dua anak mereka Ferra Aryana Ahmed Farriq, 3, dan Feeya Adyrra Ahmed Farriq, 2, yang masih belum memahami perceraian mereka.Kata Fiza, walaupun dia mengakui keputusan itu adalah berat dan meluluhkan hatinya tetapi ia terpaksa dilakukan demi dua puteri mereka. "Kalau diikutkan, keputusan untuk berhari raya bersama bekas suami adalah sesuatu yang menyakitkan. Namun, demi kebahagiaan anak-anak saya tabahkan hati dan kuatkan semangat juga."Kami terpaksa meraikan Hari Raya bersama kerana anak-anak tidak memahami ibu bapa mereka sudah tidak bersama lagi. Kami terpaksa beraya dan bersikap seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku dalam perkahwinan kami," katanya.Jelasnya lagi, dia akan membawa anak-anaknya pulang ke kampungnya di Pulau Pinang selepas 1 Syawal lalu bersama bekas suaminya.Berkongsi tentang cerita lucu di Hari Raya, Fiza berkata, dia terpaksa membeli pakaian baru untuk dua anaknya pada saat-saat akhir selepas pakaian yang ditempah pada seorang tukang jahit gagal disiapkan sehingga ke hujung Ramadan."Saya terpaksa membeli pakaian baru untuk dua anak saya di kedai saja gara-gara sikap tidak bertanggungjawab seorang tukang jahit yang gagal menyiapkan pakaian mereka. "Mujurlah, dapat juga cari pakaian yang bersesuaian untuk mereka. Kalau tidak, tentu susah juga," katanya.Pasangan terbabit bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin. Selepas bercerai, Fiza pernah dikaitkan menjadi punca keruntuhan rumah tangga ibu bapa kepada pelakon remaja Erin Malek.