suria

Alleycats Akan Kekal Biarpun Tanpa David

KUALA LUMPUR: Kumpulan popular Alleycats tidak akan berkubur biarpun ketiadaan penyanyi utamanya Datuk David Arumugam suatu hari nanti.

David, 61, berkata, selepas kematian Loganathan, dia tetap berusaha memperjuangkan Alleycats dan mahu melihat kumpulan tersebut terus kekal walaupun selepas ketiadaannya.

“Kumpulan Alleycats akan terus kekal biarpun tiada Loga dan saya. Sekarang kami sedang mencari penyanyi baru yang dapat menyambung legasi ini.

“Kumpulan Allyecats yang ada sekarang adalah barisan ahli-ahli baru, namun bagi saya apa yang kami ingin perjuangkan adalah muzik yang sentiasa segar sepanjang zaman,” ujarnya kepada pemberita selepas tayangan media Konsert Sampaikan Salam Alleycats, di Istana Budaya di sini, Khamis.

Persembahan hampir dua jam itu berjaya mengimbau kembali nostalgia zaman kegemilangan mereka dengan dendangan lagu-lagu malar segar.

Ia diadakan selama tiga hari bermula Khamis lalu.

Antara lagu popular yang dibawakan pada malam tersebut ialah Senandung Semalam, Jika Kau Bercinta Lagi, Seribu Bintang, Rayuan Di Puncak Genting, Sampaikan Salam Cintaku, Andai Kau Pergi Dulu dan Berjuta Batu.

Tambah David, anak-anaknya kurang berminat untuk menjadikan nyanyian sebagai kerjaya utama

"Anak saya boleh menyanyi tetapi mereka tidak suka melibatkan diri secara serius dalam bidang muzik,” katanya.

Selain itu, kata David, Alleycats sedang merancang untuk membuka sebuah muzium kecil sebagai kenangan untuk kumpulan tersebut.

Katanya, muzium mini itu nanti akan menempatkan barang-barang dan gambar lama sejak penubuhan Alleycats. Ia sebagai tanda kenang-kenangan untuk peminat-peminat mereka.

Mengenai Konsert Sampaikan Salam Alleycats yang diadakan, David amat berterima kasih kepada Istana Budaya kerana memberi peluang untuk kali kedua kepada kumpulan tersebut beraksi di pentas berprestij itu.

“Bukan mudah untuk buat persembahan di Istana Budaya. Sebagai penyanyi saya rasa sungguh terharu,” katanya.

Selain Alleycats, konsert tersebut turut diserikan dengan anak kepada mendiang Loga iaitu Dasha Logan yang menyampaikan beberapa buah lagu dalam segmen tribute kepada mendiang bapanya itu.

Dari segi pemilihan lagu, David berkata mereka akan memilih lagu yang berlainan setiap malam persembahan tersebut bagi memberi variasi kepada konsert itu.

“Kami tidak menyanyikan lagu yang sama, ia pasti berbeza-beza. Kita lihat macam mana dengan sambutan dan saya akan menyesuaikan lagu dengan peminat yang datang,” tuturnya yang menyifatkan konsertnya kali ini lebih santai.

Sementara itu, pihak menganjur memberi 10 peratus diskaun bagi mereka yang ingin membeli tiket secara berkumpulan dengan jumlah minimum seramai 10 orang untuk menyaksikan konsert tersebut.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Ismail di talian 019-3262659.

Selain itu, peminat juga boleh mendapatkan tiket yang berharga RM65 sehingga RM450 dengan melayari laman sesawang www.ticket2u.biz atau hubungi talian 03-41478600. Setiap RM5 daripada harga tiket akan disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional.

Artikel Sebelum

PM Hadiri Konsert Suara Kami

Artikel Berikut

Artikel Lain