Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke konsert Suara Kami di Stadium Merdeka, Sabtu. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL/The Star.KUALA LUMPUR: Seramai 6000 penonton Konsert Suara Kami di Stadium Merdeka telah diberikan kejutan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut serta menyaksikan konsert tersebut, di sini, malam Sabtu.Ketibaan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke atas pentas konsert anjuran stesen televisyen berbayar, Astro itu mendapat sambutan hangat daripada para penonton yang terdiri daripada golongan muda itu. Kata Najib, kehadirannya ke konsert itu dapat dimanfaatkan dengan mengenali para remaja yang jarang didekatinya itu dengan lebih dekat."Saya mahu menyertai generasi baru kita dan kenal mereka dengan lebih dekat,"ucap beliau yang hadir pada separuh masa konsert tersebut dijalankan.Selepas ucapan ringkas itu, Najib turut merakamkan beberapa gambar para penonton untuk dimuatkan dalam akaun laman Twitter miliknya.Kehadiran Najib pada konsert itu selepas menerima undangan khas daripada pengacara popular negara, Aznil Nawawi, menerusi Twitter.Ketika Aznil selaku pengacara konsert itu membawa Najib ke atas pentas, dia sempat membuat jenaka berlakon pengsan di hadapan perdana menteri negara itu."Sebelum ini saya pernah berkata, jika benarlah beliau (Najib) hadir ke Konsert Suara Kami ini, saya akan pengsan. Jadi, saya akan pengsan sekarang juga!" seloroh Aznil kepada para penonton.Suara Kami yang menampilkan penyanyi tempatan dan antarabangsa itu diadakan bersempena dengan ulang tahun Astro yang ke-15 dan sambutan Hari Malaysia.Antara barisan penyanyi tempatan yang membuat persembahan pada konsert tersebut ialah kumpulan Hujan, Yuna, Pop Shuvit, Azlan And The Typewriter, Faizal Tahir, Stacy, Soul Krazy, Ruffneckz dan Psycho Unit.Manakala penyanyi antarabangsa yang turut serta pula ialah Naresh Iyer dan Chinmayi (India), Hins Cheung (Hong Kong), Rania (Korea Selatan) dan Nelly.Persembahan yang bermula kira-kira pukul 9 malam itu menggamatkan suasana apabila sebilangan besar remaja menjerit-jerit memanggil nama penyanyi pujaan masing-masing.Ternyata gabungan penyanyi-penyanyi tempatan dan antarabangsa telah menggamatkan suasana konsert tersebut.Para penonton juga tidak henti-henti memberi sokongan mereka kepada setiap penyanyi yang membuat persembahan walaupun ada yang tidak dikenali mereka.