suria

Asfan Terkilan Masih Tidak Popular

Asfan
Asfan
Asfan

PETALING JAYA: Penyanyi baru, Asfan atau nama sebenarnya Norasfan Shah Shah Rudin, 27, terkilan kerana kurang dikenali berbanding lagunya berjudul Terhenti Di sini yang begitu popular di corong-corong radio.

Asfan berkata, Terhenti Di Sini mula popular selepas ia dijadikan sebagai lagu runut bunyi dalam drama “Asmara 2” menerusi saluran TV3 sebelum stesen radio memutarkan lagu tersebut.

"Saya tidak sangka lagu tersebut boleh jadi popular tetapi yang peliknya orang tidak tahu siapa penyanyinya.

"Itu yang membuatkan saya sedikit terkilan kerana ia membuatkan kerjaya seni saya baru hendak menapak ini sukar berkembang daripada segi tawaran membuat persembahan dan sebagainya," katanya yang bernaung di bawah label Alibi Music.

Tambah Asfan, lebih mengejutkan dirinya ialah apabila lagu yang dihasilkan oleh Aryan Siswanto Kamsani itu turut popular di Singapura.

Dalam pada itu, tidak lama lagi Asfan bakal muncul dengan “single” lagu kedua pula yang berjudul Aku Tak Sempurna hasil ciptaannya sendiri.

"Saya harap lagu ini boleh diterima ramai sama seperti “single” pertama saya itu.

"Kalau nak tahu saya hampir putus asa kerana menyangka lagu saya tidak akan diterima ramai. Ketika itu saya membuat perancangan dengan membuka perniagaan rekaan dan cetakan. Alhamdulillah, kini saya mempunyai dua kerjaya iaitu menjadi seorang penyanyi dan peniaga," tuturnya.

Ditanya siapakah penyanyi idolanya yang menjadi inspirasi untuknya berkarya, kata Asfan, dia begitu meminati David Cook, Adam Lambert dan Daughtry.

"Terlalu banyak perkara yang saya perlu terokai dalam bidang muzik ini dan pada masa yang sama saya mempunyai pelbagai inspirasi tidak kira dari penyanyi tempatan mahupun luar negara.

"Mungkin dengan bakat yang dikurniakan Tuhan, saya dapat memberikan kualiti muzik yang terbaik buat semua," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain