Reza lega berjaya menunaikan impiannya untuk memiliki studio sendiri. - Foto RAYMOND OOIPETALING JAYA: Deejay radio Era FM, Reza Mohamed sudah mampu tersenyum lega apabila berjaya menunaikan impiannya untuk mempunyai studio sendiri sejak sebulan lalu.Studio yang dinamakan Patung Studio itu disewa di Jalan Dwitasik, Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur dengan bantuan rakan kongsinya, Sufi Abu Bakar, graduan dalam bidang tarian dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). “Saya mula bercita-cita untuk mempunyai studio sendiri sejak 16 tahun lalu iaitu usia saya dalam 17 tahun.“Setakat ini, studio ini telah digunakan untuk latihan menari dan tidak lama lagi pengarah Erma Fatima akan menyewa studio ini untuk latihan lakonan.“Bayarannya bergantung kepada masa dan jenis aktiviti yang dilakukan. Biasanya saya mengenakan sewa ruang studio itu RM25 untuk satu jam,” katanya kepada mStar Online.Studio yang ditubuhkan di bawah syarikatnya, Rezakey Management tersebut turut mempunyai tiga bilik termasuk bilik solat, tandas, bilik penyediaan makanan dan sebuah pejabat.“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana doa dan niat saya dikabulkan Allah apabila dapat menubuhkan studio ini dengan hasil titik peluh sendiri.“Sudah lumrahnya apabila melakukan perniagaan, pada mulanya pasti sukar untuk mendapat keuntungan. Biarpun risiko dan persaingannya tinggi, tetapi permintaan terhadap studio ini masih ada,” kata bekas pelajar Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang kini dikenali sebagai Aswara itu.Dalam perkembangan lain, dia yang telah berkhidmat sebagai deejay Era FM sejak Februari 2006 teringin untuk menerbitkan sebuah drama muzikal atau showcase tarian dan dijangka akan menyertai World Championships of Performing Arts (WCPA) dan MyDance Festival.