suria

Tiada Kekecewaan Bagi Shila Amzah

MENYEDARI perlu melakukan sesuatu perubahan dalam perjalanan kerjaya yang agak mendatar, naib juara One In A Million (OIAM), Shila Amzah (gambar) akhirnya mengambil langkah berani untuk menguruskan sendiri kerjayanya.

Sejak mengambil keputusan keluar dari syarikat pengurusan Monkey Bone awal tahun lalu, Shila mula belajar berdikari dan mencari fokus untuk membariskan namanya di kalangan artis-artis terkenal tanah air.

Kali ini, tidak hanya mempertaruhkan suara dan kecantikan semata-mata, anak kesayangan penyanyi ND Lala ini turut mencuba nasib mengetengahkan lagu-lagu hasil nukilannya sendiri.

“Biarpun ramai yang menganggap laluan saya mudah dalam industri ini tapi hakikatnya ia tidak seperti itu, malah saya terpaksa berusaha lebih keras untuk berada sebaris dengan penyanyi lain.

“Selepas keluar daripada syarikat rakaman tersebut saya mula mencari ke mana hala tuju dan arah untuk membentuk kerjaya nyanyian saya. Insya-Allah dengan pengalaman yang ada saya yakin dapat membantu untuk saya berdikari.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah kecewa dengan apa yang berlaku dan menganggap kegagalan selama ini sebagai pengajaran yang menjadikan saya lebih matang dalam industri seni,” katanya.

Penyanyi berusia 21 tahun ini yakin masih belum terlewat lagi untuk dia kembali melonjakkan namanya dalam industri seni nyanyian tanah air.

“Saya masih muda dan banyak lagi yang saya perlu belajar, tak mengapalah jika lambat sekali pun tetapi sudah banyak pengalaman yang saya lalui. Sedikit sebanyak pada usia ini saya sudah memahami selok-belok berada dalam bidang seni,” tuturnya.

Biarpun terpaksa mendaki secara perlahan, ia bukan satu halangan bagi Shila untuk terus mencapai puncak kejayaan dan perjalanan kerjayanya.

Tiada keyakinan

Shila yang pernah popular dengan lagu Memori Tercipta ini turut mengakui salah satu faktor dia lambat untuk bergelar popular disebabkan tidak mempunyai keyakinan diri bagi mengetengahkan hasil kreativiti seninya.

Dengan fasa baru dalam mempertaruhkan bakat menyanyi dan bermain gitar, ia tiada masalah untuknya mencipta lagu-lagu serta lirik sendiri untuk dimuatkan dalam album-album yang akan diterbitkan pada masa akan datang.

“Saya memang sudah mencipta lagu sejak daripada zaman persekolahan tetapi kurang berkeyakinan untuk membawanya ke depan. Setakat ini saya telah mencipta hampir 30 buah lagu yang belum pernah dirakamkan.

“Insya-Allah, album baru saya nanti akan memuatkan lagu-lagu ciptaan saya sendiri dan melihat perkembangan Patah Seribu lebih memberi keyakinan kepada saya untuk terus berkarya,” katanya.

Selain itu, klip video tersebut juga sudah selesai menjalani penggambaran dan sedang dalam proses suntingan sebelum disiarkan kepada umum.

“Alhamdulillah, penggambaran sudah selesai dan saya tidak sabar untuk menunggu hasil lakonan pertama saya terutama apabila bergandingan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad.

“Biarpun melakonkan hanya 10 adegan sahaja tapi saya akui mempunyai perasaan gementar kerana iai merupakan pengalaman pertama saya berlakon,” katanya.

Bercakap tentang lelaki

Diterjah dengan persoalan mengenai hati, gadis ini hanya tersenyum dan menganggap dirinya masih terlalu awal untuk dimiliki seorang lelaki.

Kata Shila belum ada yang berjaya bertakhta di hatinya setakat ini, malah dia tidak mahu dirinya digosipkan dengan mana-mana lelaki.

“Saya masih sama seperti dulu, kalau boleh memang saya tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana lelaki. Bukan apa, saya tak mahu bakal ibu mertua saya pada masa akan datang akan fikir saya seorang wanita yang banyak kekasih,” ujarnya berseloroh.

Jelasnya, dia hanya mahu fokus kepada bidang nyanyian dan masa terluangnya lebih ditumpukan untuk berinteraksi bersama peminat melalui akaun Twiter miliknya.

“Bukan tidak mahu bercinta tetapi sukar untuk mencari lelaki yang memahami saya selain kerjaya sebagai seorang artis. Pada saya lebih baik masa yang ada saya gunakan untuk mendekatkan diri dengan peminat.

“Saya memang aktif bermain Twitter sehinggakan kadangkala dimarahi oleh ibu dan ayah sebab terlalu leka melayan pertanyaan-pertanyaan peminat.

“Daripada perkenalan kami di laman Twiter juga saya mempunyai kumpulan peminat yang mana kami dapat keluar dan menonton wayang bersama-sama,” katanya.

Perkara tersebut juga mendorong, penyanyi ini memuat naik beberapa klip video nyanyiannya di laman YouTube bagi memenuhi permintaan mereka.

“Saya buat video itu hanya sekadar suka-suka bagi memenuhi permintaan peminat. Mereka ingin dengar saya menyanyikan lagu orang lain tapi saya tidak dapat nyanyikannya di khalayak jadi saya mengambil medium ini untuk memenuhi permintaan tersebut.

“Ia juga seperti latihan nyanyian kepada saya selain membantu saya untuk menambahkan keyakinan apabila memetik gitar,” katanya yang memberitahu langkah itu tidak mempunyai sebarang tujuan komersial.

Foto YAP CHEE HONG

*Artikel dipetik daripada sisipan Mingguan mStar yang diedarkan bersama akhbar The Sunday Star keluaran 17 Julai di sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain