Jep dan Shuib menubuhkan Sepahtu tanpa Mamat. - Foto BRIAN MOHKUALA LUMPUR: Selepas membubarkan kumpulan Sepah pada Ogos lalu, Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jep), 26, dan Shahmira Muhamad (Shuib), 27, menubuhkan kumpulan baru yang dinamakan Sepahtu pada September lalu tanpa Mohd Noor Murad (Mamat), 26.Menurut Jep, mereka nekad memilih haluan untuk bergerak berdua tanpa Mamat atas alasan tertentu setelah beberapa kali memberi peluang kepada lelaki itu. “Kami tidak mampu bertahan lagi untuk bekerjasama dalam satu kumpulan. Jadi, kami memilih untuk berpecah dan menubuhkan kumpulan baru, Sepahtu selepas ditawarkan oleh MW Entertainment Sdn Bhd milik penyanyi Mawi.“Kami suka bekerja dengan orang yang menghargai karya seni, jadi sebab itu kami menerima tawaran ini,” katanya sewaktu sidang media ‘Sepahtu Bikin Album’ di Restoran Dapur Penyet, Maju Junction Mall, di sini, Selasa.Menyentuh tentang nama Sepahtu, Jep berkata mereka terpaksa menggunakan nama baru memandangkan nama Sepah digunakan untuk mereka bertiga.“Orang mengenali Sepah dianggotai oleh saya, Shuib dan Mamat. Jadi, Mamat menjadi sebahagian daripada Sepah. Jadi, tidak adil jika kami menggunakan nama tersebut.“Sebab itu kami menggunakan nama baru iaitu Sepahtu yang berbunyi seperti sepatu atau kasut yang mana bergerak sepasang di kiri dan kanan,” ujarnya lagi.Biarpun telah berpecah, hubungan mereka masih baik dan tidak memusuhi antara satu sama lain. Jep berkata mereka akan melaksanakan projek terakhir untuk Sepah iaitu filem “Sepah The Movie” yang akan menjalani penggambaran pada 17 Oktober ini.“Disebabkan kami telah menandatangani kontrak untuk berlakon dalam filem itu, jadi kami masih perlu bekerjasama sebagai Sepah. Lagipun, kami tiada masalah untuk berlakon bersama-sama.“Hubungan kami sebagai kawan masih ok tetapi apabila tiba tentang komitmen, kami tidak boleh bertolak-ansur lagi. Ikutkan tiada sesiapa yang menyingkir sesiapa, sebaliknya kami memang sudah tidak boleh bersama dan terpaksa berpecah,” ujar Jep.Bagaimanapun, mereka tidak mungkin menerima kehadiran Mamat dalam kumpulan itu lagi andai kata lelaki itu mahu kembali dan mengubah tingkah lakunya.Beralih kepada album, Sepahtu akan tampil dengan album sulung mereka yang diterbitkan di bawah MW Entertainment dan Sheikh Qalam Records serta diedarkan dan dipromosikan oleh Universal Music Malaysia.Penerbitnya Sheikh Qalam berkata album genre pop dan rock dengan beberapa lirik berunsur komedi itu akan dihasilkan oleh komposer dan penulis lirik terkenal seperti Datuk M Nasir, Azmeer, Sheikh Qalam, Mawi dan Sepahtu sendiri.Album ini juga dijangka akan menampilkan kolaborasi Sepahtu bersama-sama Mila dan Mawi.“Lagu-lagu ini masih belum dihasilkan dan dalam perancangan tetapi kemungkinan kita akan menggubah enam hingga lapan buah lagu yang diterbitkan pada November depan.“Jika tiada aral, para peminat boleh mendapatkan album mereka pada hujung Disember depan.“Kami lihat, Jep dan Shuib tiada masalah untuk menyanyi kerana mereka pernah merakamkan lagu hari raya manakala Shuib sudah mempunyai single “Cinta Itu Nyawa” yang dinyanyikan secara duet dengan isterinya, penyanyi Siti Sarah,” kata Sheikh Qalam.Sementara itu, Sheikh Qalam mewakili Mawi yang tidak dapat hadir turut mengesahkan tentang penglibatan Sepahtu yang kini sudah menjadi artis di bawah naungan MW Entertainment.“Semua aktiviti seni Sepahtu seperti lakonan, persembahan, album dan iklan akan diuruskan oleh MW Entertainment,” ujarnya lagi.