PETALING JAYA: Pelakon Elizad Sharifuddin (gambar) dijangka berehat selama sebulan daripada aktiviti seni selepas menjalani pembedahan ketumbuhan dalam perut dan apendiks di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.Menurut Elizad yang kini sedang berehat di rumahnya, dia tidak mengetahui tentang ketumbuhan tersebut sehingga membuat pemeriksaan doktor gara-gara tidak dapat menahan kesakitan pada bahagian perutnya. “Saya tidak memberitahu kawan-kawan tentang pembedahan ini dan hanya diketahui oleh orang terdekat. Saya terkejut juga apabila doktor memberitahu saya perlu dibedah untuk membuang ketumbuhan yang besar dalam perut saya.“Pada mulanya saya ingatkan perut menjadi buncit disebabkan terlalu banyak makan. Rupa-rupanya ketumbuhan itu telah membesar dan merebak ke buah pinggang sehingga menyebabkan perut saya rasa teramat sakit."Apabila saya membuat pemeriksaan doktor, terus saya ditahan di hospital itu untuk menjalani pembedahan ketumbuhan serta apendiks,” ujarnya kepada mStar Online.Memandangkan pembedahan tersebut melibatkan bahagian dalaman, jadi pelakon drama Jamilah, I Love You! ini terpaksa mengawal pemakanannya dan mengikut nasihat doktor agar cepat sembuh dan boleh kembali aktif bekerja.“Selepas pembedahan, saya rasa masih sakit dan berdenyut walaupun doktor ada memberikan ubat tahan sakit dan antibiotik. Kadangkala, saya menangis kerana tidak tahan menanggung kesakitan lebih-lebih ini merupakan pertama kali saya menjalani pembedahan.“Sekarang, saya sedang menunggu kesan jahitan betul-betul pulih dan kemungkinan boleh kembali bekerja selepas sebulan. Pada 12 Oktober ini, saya perlu ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut,” ujarnya lagi.