suria

Khadijah Ibrahim Jual Perencah Masakan

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim meluaskan cabang perniagaan apabila mengeluarkan produk perencah berasaskan makanan Melayu selepas menerima respon positif daripada pelanggan mengenai masakan yang disediakan restorannya, Khadijah's Kitchen.

Khadijah atau lebih selesa dipanggil Khaty berkata, idea membuat serbuk perencah mula timbul apabila pelanggan-pelanggannya sering bertanyakan resipi masakan yang dinikmati menjamu selera di restorannya.

"Pelanggan selalu bertanyakan resipi masakan di restoran saya. Sebab itu saya mengambil inisiatif untuk mengeluarkan produk serbuk perencah.

"Antara serbuk perencah yang dijual ialah rendang tok, sambal ikan bilis, laksa Johor dan pajeri nenas. Harganya pula tidaklah mahal, ia mampu dibeli oleh semua orang. Hanya RM6 sebungkus," katanya.

Tambah Khaty, dia juga turut membuat bungkusan khas sebagai tanda kenangan untuk disimpan selepas menggunakan serbuk tersebut.

Sementara itu, Khaty juga kini membantu golongan muda yang meminati bidang masakan untuk menyambung pengajian di kolej swasta, Kolej Olympia.

"Memandangkan saya merupakan duta kepada kolej berkenaan, saya ingin membantu anak-anak muda kita yang meminati bidang masakan. Mereka akan diberi peluang belajar dan kemudiannya akan membuat latihan industri di restoran saya.

"Sekarang ini sudah lebih daripada 300 pelajar yang mengikuti program ini. Alhamdulillah, saya sudah mempunyai beberapa pelajar yang berjaya," ujarnya.

Bercerita mengenai karier nyanyiannya pula, Khaty sedang membuat perancangan untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar pada tahun depan.

"Saya akan selesaikan dahulu promosi pelancaran serbuk perencah saya di Malaysia dan Singapura dahulu, baru boleh fokus kepada acara konsert pula," katanya yang bakal muncul dengan “single” lagu baru yang berjudul Kurnia Baiduri.

Artikel Berikut

Artikel Lain