suria

Cermin Mata Elak Nera Dikenali

SEWAKTU berada di Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), nama Queennera Francis Kitingon (Nera), 19, (gambar) tiba-tiba melonjak apabila dikaitkan bercinta dengan Mohamad Azri Abdullah (Azri), 24.

Bagaimanapun, selepas program realiti di Astro Ria itu berakhir, Nera mengakui belum mempunyai kekasih sebaliknya hanya berkawan rapat dengan pemuda itu.

Biarpun berbangsa Kadazan Dusun, yang beragama Kristian, keluarga tidak menghalang sekiranya Nera mahu bercinta dengan lelaki Melayu ataupun mereka yang berlainan agama.

Ditanya tentang lelaki idaman, Nera memberitahu dia mendambakan lelaki yang jujur dan bertanggungjawab.

Menyentuh tentang karier, Nera baru sahaja popular dengan single Hatimu Milikku yang semakin hangat diputarkan di corong radio tempatan.

Tidak lama lagi, Nera bakal mempertaruhkan lagu yang digubah dan ditulis sendiri pada tahun 2005 bersama dua sepupunya iaitu Samantha dan Georgiane.

Selain itu, dia sibuk dengan jemputan persembahan di Kuala Lumpur dan negeri kelahirannya, Sabah. Rezekinya juga bertambah apabila dilantik sebagai duta untuk gedung farmasi Guardian.

Zoom! menyelongkar barang-barang penting dalam hidup Nera.

Gula-gula

Nera selalu membawa gula-gula ke mana-mana sahaja untuk memberikan keselesaan kepada mulut. Lebih-lebih lagi apabila bergelar artis, Nera sangat menjaga penampilan dan imejnya apabila bertemu dengan orang ramai.

Manik-manik

Rantai yang digelar manik-manik di Sabah ini dibeli sendiri oleh Nera dan selalu dipakai ketika dia membuat persembahan. Menurut Nera, rantai ini secara tidak langsung dapat mempromosikan barangan tradisi negeri Sabah.

Rantai

Rantai berbentuk bintang ini dihadiahkan oleh rakan baiknya, Lynda pada tahun lalu. Nera menganggap hadiah tersebut sebagai lambang persahabatan mereka kerana pernah bersekolah sama-sama sejak kecil.

Pelembap bibir

Produk kosmetik ini amat penting dan wajib dibawa ke mana-mana dia pergi untuk membantu menyerlahkan kecantikan semula jadinya.

Cermin mata

Nera menjadikan cermin mata sebagai ‘perisai’ untuk bersembunyi daripada peminat. Kadangkala Nera mahu lebih privasi dan menjalani kehidupan biasa seperti orang lain tanpa dikenali. Kebetulan, Nera seorang yang suka merendah diri dan jika berjalan bersama-sama dengan keluarga serta kawan-kawan, dia lebih gemar memakai cermin mata bagi mengelakkan identitinya dikenali.

Album gambar, buku nota AF9 dan buku motivasi

Bagi menghilangkan kerinduan, album gambar dibawa ke mana sahaja dia pergi apabila berjauhan dengan keluarga dan kawan-kawan. Sementara buku nota AF9 pula meninggalkan kenangan Nera dengan AF9 kerana ia mengandungi nota muzik dan catitan berharga kepada dirinya. Nera membaca buku motivasi apabila mempunyai masa lapang untuk memberi motivasi dan semangat kepada dirinya bagi meneruskan kehidupan ini.

Patung beruang

Patung ini menjadi peneman tidur Nera sejak dihadiahkan oleh kawan lelakinya semasa menyambut hari lahir ke-19 tahun pada 7 Januari lalu. Apabila ke mana-mana, dia akan membawa dan memeluk patung itu semasa tidur.

iPod

Nera menggunakan iPod untuk mendengar muzik pada waktu lapang. Banyak lagu yang dimuat turun dalam iPod ini diambil menerusi Internet atau diperoleh daripada rakan-rakannya. Kadangkala, Nera akan berlatih menyanyi sambil mendengar iPod. Gajet ini dihadiahkan oleh peminat lelakinya sewaktu menyambut hari lahir ke-19.

Telefon bimbit

Tanpa telefon bimbit, hidup Nera pasti ‘lumpuh’ kerana ia amat penting untuk digunakan bagi tujuan keselamatan selain membuat panggilan kecemasan. Dia juga menggunakan gajet ini untuk menghubungi kawan-kawan dan keluarga serta mengemas kini maklumat dengan peminat menerusi Facebook dan Twitter. Telefon bimbit ini dibeli sendiri oleh Nera hasil duit gaji pertamanya semasa bergelar artis.

Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL Solekan VIE XENDDRA (0129795875)

* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain