suria

Gemar Tonton Filem Korea, Rafidah Dapat Ilham Hasilkan Skrip

Rafidah Abdullah
Rafidah Abdullah
Rafidah Abdullah

PETALING JAYA: Bekas pengacara program 3R, Rafidah Abdullah memberitahu dirinya gemar menonton filem dan drama Korea kerana merasakan jalan ceritanya berbeza dan menarik.

Rafidah berkata, kegemarannya menonton filem dan drama dari negara itu juga telah memberikan ilham untuk dia menghasilkan sebuah filem cinta romantik komedi sebagai latar utama.

"Saya menghasilkan skrip Istanbul Aku Datang berinspirasikan daripada filem Korea tetapi idea untuk filem ini adalah original dan bukannya meniru mana-mana filem sedia ada.

"Saya mendapat ilham menulis skrip filem tersebut ketika bercuti ke Turki pada Januari lalu dan tertarik dengan keindahan Turki yang sesuai dijadikan latar untuk filem," ujarnya.

Rafidah ditemui pada majlis tamat penggambaran filem tersebut di sini, minggu lalu.

Rafidah berkata, semasa di Turki dia telah membuat beberapa draf awal untuk skrip filem itu berdasarkan senario disana dan mengambil masa hampir lima bulan untuk menyiapkan sepenuhnya skrip.

Dalam pada itu, Rafidah gembira dengan pemilihan Lisa Surihani, Beto Kusyairi, Tomok dan Aizat Amdan sebagai peneraju utama filem ini dan yakin hasilnya akan memuaskan dibawah arahan Bernard Chauly.

"Walaupun masih belum melihat hasil filem ini sepenuhnya tetapi saya yakin semua pelakon dan tenaga produksi terutamanya Bernard telah melakukan yang terbaik.

"Selain itu, saya juga teruja untuk melihat lakonan Tomok dan Aizat yang pertama kali muncul dalam filem," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Anzalna Akui Sudah Ada Kekasih

Artikel Lain