suria

Fauzi Nawawi Lepas Rindu Berlakon Drama Purba

Fauzi Nawawi
Fauzi Nawawi
Fauzi Nawawi

KUALA LUMPUR: Pelakon Fauzi Nawawi menganggap tawaran berlakon watak Teruna dalam teater Se-Merah Padi sebagai pengubat kerinduannya untuk berlakon drama purba seperti di awal kemunculannya.

Kata Fauzi, dia akan menggunakan kelebihannya bersilat dan melakonkan babak aksi di atas pentas teater tersebut.

“Saya terima tawaran ini bukan kerana bayaran tetapi kerinduan saya terhadap drama-drama purba.

“Awal 90-an dahulu saya muncul dengan beberapa drama purba tentang kepahlawanan, namun sekarang sudah tiada lagi drama-drama seperti itu,” katanya kepada mStar Online baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Fauzi, dia berbesar hati dipilih melakonkan watak yang pernah dibawa oleh seniman Nordin Ahmad yang juga merupakan idolanya.

“Saya akan memberi yang terbaik untuk melakonkan watak Teruna walaupun saya tahu saya tidak sehebat Nordin Ahmad.

“Nordin Ahmad merupakan salah seorang idola saya dan sentiasa menjadikannya contoh bagi sesuatu karakter,” tuturnya yang pakar dalam seni silat gayong.

Dalam pada itu, Fauzi turut teruja untuk bergandingan dengan pelakon hebat Zul Huzaimy dan Jue Aziz.

“Saya belum pernah bergandingan dengan Zul Huzaimy biarpun kami pernah tinggal serumah satu ketika dahulu.

“Tapi saya tahu dia seorang pelakon yang hebat begitu juga Jue Aziz, Insya-Allah kami dapat membina keserasian bersama,” tambahnya.

Teater adaptasi dari filem arahan Seniman Agong Tan Sri P.Ramlee, Se-Merah Padi akan dipentaskan pada 22 hingga 31 Disember depan.

Antara artis lain yang turut menjayakan teater ini adalah Datuk Baharuddin Omar, Azizah Mahzan, Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Baby Erin.

Artikel Lain