PENYANYI dan komposer James Baum (gambar) mengakui pengalaman hidup yang penuh ranjau sebelum ini adalah motivasi terbaik untuk dirinya terus mencuba tanpa kenal erti putus asa.Masakan tidak, kalau diikutkan James bukan orang baru dalam atmosfera muzik tempatan. Dia sudah mula mengintai ruang di persada muzik seawal pertengahan 1990-an lagi. Namun, impiannya untuk menembusi pasaran dan dikenali umum tidak semudah jangkaan. Walaupun James pernah mempertaruhkan karya sulung dalam lagu Skirts pada 2004, percubaan itu tidak ke mana ekoran pelbagai keperitan yang menyusul ketika itu.“Kalau diikutkan terlalu banyak rintangan yang perlu saya hadapi sebelum ini. Bayangkan saya sudah menceburi bidang muzik sejak era kemunculan kumpulan Poetic Ammo pada 1990-an lagi.“Beberapa faktor iaitu isu bajet, penolakan syarikat rakaman yang kurang percaya pada potensi lagu-lagu urban dan penutupan syarikat rakaman saya bernaung lantas membantutkan hasrat untuk bergelar penyanyi,” ceritanya.Kini, sekalipun namanya belum sekukuh mana atau dikenali ramai, sekurang-kurangnya James boleh menghela nafas lega dengan kedudukan yang dikecapinya.“Saya sangat gembira dengan fasa positif dalam kehidupan saya pada hari ini. Sebenarnya, kesulitan hidup sebelum ini menjadikan diri lebih kuat, cekap dan manusia yang lebih baik.“Saya belajar untuk menghargai perkara dan nikmat yang dimiliki, lebih ligat berfikir dan berani untuk membuat keputusan yang boleh melonjakkan diri kita ke tahap lebih baik,” katanya.Apabila diajak berbual mengenai permulaan karier nyanyiannya yang agak lewat pada usia 32 tahun, James berkata ia bukan penghalang untuknya mencapai impian itu.Benar, secara hakikinya dia bermula lewat, namun pengalaman dan kemahiran dalam muzik yang digali sejak sedekad lalu menjadi persiapan terbaik untuk bergelar penyanyi yang berkebolehan.“Saya akui bermula agak lewat. Bagi saya, ini adalah waktu terbaik untuk bermula selepas saya melalui pelbagai pengalaman manis dan pahit, serta memantapkan diri dengan ilmu muzik.“Penyanyi pada hari ini bukan saja perlu pandai menyanyi tetapi sebaik-baiknya mereka juga perlu mempelajari ilmu penulisan dan penerbitan lagu.“Ini kerana perkembangan dan selera muzik kini berubah dengan pantas dan kita sebagai penghibur perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pakej untuk mengisi keperluan itu,” katanya.Keperitan hidup jadi inspirasi terbitkan album Anak lelaki tunggal dalam keluarga ini mengakui segala keperitan dalam hidupnya sebelum ini tidak pernah seinci pun melenyapkan keterujaannya dalam muzik.Malah, pengalaman pahit yang pernah singgah itu menjadi pemangkin semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya sehinggalah lahirnya album sulung My Lead.“Album ini sangat besar ertinya untuk saya. Saya pernah melalui ‘fasa hitam’ dalam hidup apabila berdepan masalah kewangan yang meruncing dan pernah kehilangan kereta ketika dalam proses penghasilan album ini.“Segala cabaran dan pengalaman itu saya terjemahkan ke dalam lagu-lagu dalam album ini. Pendek kata, album ini adalah motivasi diri yang menggerakkan saya ke depan,” katanya yang mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan album dengan 17 trek lagu itu.Akuinya lagi, tiada kata yang dapat menggambarkan kepuasan dan kegembiraannya dengan kemunculan album yang merangkumi pelbagai genre itu.“Selepas melalui laluan berliku selama bertahun-tahun, album ini boleh diibaratkan sebagai nyawa. Tiada kata dapat menggambarkan kepuasan saya.“Saya berharap dengan adanya album ini akan membuka ruang kepada saya untuk lebih dikenali di kalangan khalayak umum,” katanya yang sudah menghasilkan lebih 30 buah lagu setakat ini.Bertuah mengenali Syamsul YusofJames menyambung perbualan kami dengan mendedikasikan setinggi penghargaan di atas peluang yang diberikan oleh pengarah muda Syamsul Yusof kepadanya untuk menghasilkan pelbagai lagu bagi runut bunyi filem-filem arahannya.Kongsinya, pertemuan dengan pengarah dan pelakon itu pada 2008 adalah pembuka jalan dan banyak mengubah perjalanan kerjayanya.“Bukan saja saya berpeluang untuk melebarkan sayap ke bidang penerbitan runut bunyi filem-filemnya, malah perkenalan kami juga banyak mengajar dan memantapkan diri dalam bidang penerbitan lagu.“Syamsul seorang yang kreatif dan terbuka. Dia juga banyak mendengar pelbagai jenis muzik dan setiap kali kami bekerjasama dia banyak berkongsi idea bagi memantapkan lagi penerbitan lagu-lagu runut bunyi dalam filem-filemnya,” katanya yang mengakui pengarah itu banyak menyumbang kepada perkembangan karier nyanyiannya.Foto NORMAN HIU Solekan CICI (012-2410290)* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.