Monoloque telah melancarkan album pertama mereka pada Isnin. KUALA LUMPUR: Kumpulan MonoloQue yang popular dengan lagu Kekanda Adinda duet bersama Atilia memberitahu mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan album pertama mereka.Penyanyi utama kumpulan itu, Khairil Annuar Ridzwan Alias atau Loque berkata, rakaman album berjudul Hikayat Halimunan Abad Ke-21 Jejak Tanah itu tidak mengambil masa lama tetapi proses pengumpulan bahan, pembentukan identiti dan ciri-ciri bunyian MonoloQue yang memakan masa selama dua tahun. "Proses ini termasuklah transformasi MonoloQue daripada projek solo saya kepada sebuah kumpulan yang kemudian melalui pelbagai proses keluar masuk anggota sehingga lengkap," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album pertama mereka di Hard Rock Cafe di sini pada Isnin.Selain Loque (vokal utama, gitar dan piano) MonoloQue turut dianggotai oleh Ijoo (gitar utama), Dax (bass), Apex (gitar).Dalam pada itu, Loque memberitahu, mereka turut menjemput penyanyi Azlina Aziz menyanyikan sebuah lagu berjudul Batu Belah Batu Konkrit.Ujarnya, Azlina yang berperanan sebagai watak bonda di dalam album tersebut dipilih kerana selain mempunyai suara yang lunak, pemilihan penyanyi popular pada era 80-an itu adalah kerana dia adalah anak kepada Allahyarham Seniwati Normadiah."Jika diamati album ini kami begitu terpengaruh dengan elemen-elemen muzik daripada Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Allahyarham R.Azmi dan lain-lain."Pemilihan Azlina Aziz adalah kerana dia mewakili darah daripada ibu dan bapanya yang cukup hebat ketika zaman kegemilangan muzik dan filem sebelum merdeka."Jadi kami ingin abadikan sesuatu istimewa dalam album ini," ujarnya.Loque memberitahu, selain sebuah lagu bersama Azlina, album 'Jejak Tanah' turut memuatkan tujuh lagi lagu termasuk Tiada Kata Secantik Bahasa.