SHAH ALAM: Penyanyi yang popular dengan lagu Sayang Sayang, Aliff Aziz mengakui lebih matang selepas menamatkan latihan Khidmat Negara di negaranya, Singapura, selama dua tahun.Aliff, 20, berkata, program yang diwajibkan kepada semua kaum lelaki berusia 18 tahun itu telah banyak membuka matanya mengenai kepentingan disiplin dan tanggungjawab terhadap negara. "Pada awalnya saya agak berat untuk pergi kerana terpaksa meninggalkan kerjaya nyanyian saya selama dua tahun tetapi Khidmat Negara telah banyak membuka mata saya mengenai kehidupan dan mematangkan saya dari pelbagai segi."Malah saya lebih bersemangat dalam menjalani kehidupan dan mengejar cita-cita yang diimpikan," ujarnya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.Dalam pada itu, Aliff berkata, dia tidak sabar untuk merakamkan album ketiganya bersama syarikat rakaman Sony Music tahun depan sebagai hadiah buat peminatnya.Ujar Aliff, dia teringin untuk bekerjasama dengan komposer terkenal, Azlan Abu Hassan untuk album terbarunya itu nanti selain berduet dengan penyanyi, Shila Amzah."Shila Amzah adalah antara penyanyi kegemaran saya daripada Malaysia dan saya cukup kagum dengan bakatnya. Harap-harap untuk album terbaru nanti saya dapat berduet dengannya," ujarnya.Tambah Aliff, perancangan untuk muncul dengan album baru masih dalam proses mengumpul bahan dan perbincangan masih sedang dilakukan dengan syarikat rakamannya.Sementara itu, Aliff memberitahu dia akan berada di Kuala Lumpur sehingga 25 Disember depan bagi menjalankan promosi “single” terbarunya bersama penyanyi Hao Ren berjudul Delima Cinta.Aliff berkata, dia juga akan melakukan beberapa kemunculan dan persembahan di sekitar Kuala Lumpur bagi mempromosikan lagu tersebut selain album keduanya, It's Aliff's Time."Selepas melancarkan album kedua saya tidak sempat melakukan sebarang aktiviti promosi kerana terlibat dengan Khidmat Negara. Ramai peminat juga tidak menyedari kehadiran album ini."Jadi kunjungan saya di sini akan digunakan sebaik-baiknya untuk mempromosikan mengenai album itu," ujarnya.