Datin Azizah Muhammad enggan berfikir penyakit misteri yang dideritainya adalah perbuatan khianat orang lain. - Foto oleh LIM CHENG KIATKUALA LUMPUR: Penyanyi veteran dan anggota kumpulan pop yeh yeh, Nirwana iaitu Datin Azizah Muhammad, 62, berkata kesukaran untuk bercakap dengan jelas dan membaca sejak Januari lalu kini beransur pulih.Azizah yang juga isteri kepada penyanyi 60-an Datuk A. Rahman Hassan, berkata sejak menderitai penyakit misteri itu, dia dan suami telah berikhtiar untuk berubat sama ada secara saintifik mahupun tradisional. Bagaimanapun, menurut rekod perubatan, dia tidak menghidap sebarang penyakit aneh melainkan darah tinggi dan kencing manis.“Kalau diikutkan, sudah genap setahun saya derita akibat penyakit pelik ini. Saya juga sukar untuk berdiri dan berjalan sehingga memerlukan bantuan orang lain.“Saya dan keluarga sudah puas berubat di merata tempat tetapi tiada penjelasan yang kukuh mengenai masalah ini. Namun, saya bersyukur kerana sejak kebelakangan ini saya sudah dapat bercakap dengan lebih lancar dan semakin pulih,” katanya yang ditemui baru-baru ini.Penyanyi yang popular dengan lagu Syurga Idaman itu, berkata sejak menghidap penyakit tersebut, komitmennya dalam memenuhi undangan nyanyian di pelbagai acara dan majlis turut terjejas.“Sehingga hari ini, saya dan kumpulan Nirwana terus aktif menerima pelbagai tawaran nyanyian tetapi saya tidak dapat menyertai semua persembahan tersebut kerana penyakit ini.“Bayangkanlah, saya bukan sahaja sukar untuk bercakap dan bergerak, lebih memburukkan keadaan apabila saya juga tidak dapat mengingati lirik lagu saya sendiri.“Walaupun saya membaca lirik pada kertas tetapi masih sukar untuk mengeluarkan perkataan-perkataan yang dibaca itu,” katanya.Namun, Azizah berkata dia memanjatkan kesyukuran kerana keadaan tersebut beransur pulih apabila dia sudah dapat menyanyi kembali dalam dua persembahan nyanyian baru-baru ini.“Saya bersyukur kerana keadaan ini semakin pulih. Bukan sahaja pertuturan dan pergerakan semakin baik, malah saya juga dapat menyanyi semula dalam dua persembahan nyanyian baru-baru ini.“Saya tidak mahu fikir sama ada ia perbuatan khianat orang lain atau apa sekali pun, yang penting saya mahu pulih sepenuhnya dan redaa dengan ujian Tuhan ini,” katanya.Dalam perkembangan lain, Azizah, suaminya dan kumpulan Nirwana dijangka akan membuat persembahan dalam Konsert Kugiran 60’an Pop Yeh Yeh yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Januari depan di Istana Budaya.Konsert yang bakal menghimpunkan barisan penyanyi era 60-an termasuk Datuk Jeffrydin, Datuk L. Ramlie & Orkes Teruna Ria, A. Halim & D’Fiction, J. Sham & The Wanderers, A. Rahman Onn & The Strangers dan kugiran The Rhythm 60’s itu diarahkan oleh pengarah teater popular Lokman Ghani.Tiket-tiket konsert yang berharga RM40, RM80, RM120, RM160, RM200, RM240 dan RM350 boleh didapati menerusi Ticket2U.biz di talian 03-4147 8600 atau hubungi GSSB di talian 012-3695230 dan 012-322 4104.