suria

'Teater Semerah Padi': Jue Aziz Hadapi Masalah Disiplin

Jue Aziz
Jue Aziz
Jue Aziz

PETALING JAYA: Pelakon Jue Aziz yang dipilih memegang watak Dara dalam teater Semerah Padi yang bakal dipentaskan pada 24 Disember ini menghadapi masalah disiplin yang boleh menyebabkan dia digugurkan dari produksi tersebut.

Penerbit, Megat Mohd Noor Salleh Ghani atau Keno kesal dengan sikap Jue yang secara keseluruhannya menyebabkan produksi tersebut terjejas.

“Kami terpaksa menggunakan khidmat pelakon lain bagi menggantikan Jue. Nasib baiklah kami telah bersedia dengan pelakon gantian kerana bimbang berlaku masalah pada saat-saat akhir. Rupa-rupanya memang benar berlaku.

“Jue tidak datang latihan sejak Jumaat lalu dan pihak kami gagal menghubunginya, namun dia ada menghantar pesanan bahawa dia ada masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Keno diminta menjelaskan dakwaan pihak produksi teater Semerah Padi bakal menggugurkan Jue Aziz kerana masalah disiplin dan dikatakan bakal diganti dengan pelakon Arbaiah Ahmad Nadzri atau Abby Nadzri.

Jue juga dikatakan kurang memberi komitmen dan perhatian sepenuhnya ketika sesi latihan yang dilakukan sejak 13 November lalu.

“Pementasan teater bukan seperti penggambaran filem atau drama yang boleh ditangguhkan atau menunggu pelakon.

“Teater perlu ada komitmen, usaha dan disiplin yang tinggi. Latihan adalah paling penting dan tidak boleh dipandang remeh atau sambil lewa,” katanya kesal.

Dalam pada itu ditanya tentang tindakan disiplin yang boleh dikenakan terhadap pelakon itu, Keno berkata pihaknya belum membuat sebarang perbincangan tentang hal tersebut.

“Kami mempunyai kontrak dan boleh ambil tindakan terhadapnya kerana melanggar perjanjian.

“Bagi saya dia sendiri telah menjatuhkan reputasi dia dalam industri ini dan secara jujur ini mungkin yang pertama dan terakhir untuk bekerjasama dengan Jue,” katanya.

Sementara itu, Keno turut menjelaskan tentang pembatalan dua hari pementasan teater berkenaan iaitu pada 22 dan 23 Disember ini bukan kerana masalah disiplin Jue, sebaliknya persediaan lengkap keseluruhan produksi dari segi teknikal.

“Kami menjangkakan pementasan sepatutnya pada 22 hingga 31 Disember ini tetapi atas perbincangan dengan semua pihak dan bahagian teknikal, keputusan membatalkannya pada dua hari tarikh pementasan terpaksa dibuat.

Teater Semerah Padi ini turut dibintangi Khir Rahman, Fauzi Nawawi , Datuk Baharuddin Omar, Azizah Mahzan, Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Baby Erin.

Teater arahan Rosdeen Suboh ini akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 24 hingga 31 Disember depan.

Tiket untuk teater di bawah naungan Sultan Pahang ini boleh didapati di www.ticket2u.biz.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain