Cat Farish.KUALA LUMPUR: Pelakon, penyanyi dan komposer, Cat Farish memberitahu lebih selesa dengan tugas barunya sebagai penasihat program di saluran televisyen dalam talian, 1Malaysia TV.Cat ketika ditemui mStar Online berkata, tugas barunya itu lebih mencabar kerana dia perlu mengemukakan idea bersesuaian dengan konsep saluran itu yang memfokuskan kepada golongan remaja. "Setakat ini pihak kami masih belum mempunyai program tetap tetapi lebih daripada 20 idea telah dibentangkan untuk memantapkan 1Malaysia TV."Insya-Allah menjelang Mac tahun depan kita akan lancarkan semua program yang bakal disiarkan di 1Malaysia TV," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program 2012 Istana Budaya di sini, Khamis.Dalam pada itu, Cat berkata, walaupun telah lama berada di dalam industri hiburan dia masih perlu banyak belajar mengenai selok-belok dunia penerbitan program.Ujarnya, dia yakin dapat melunaskan tugas barunya itu dengan baik dengan sokongan semua kaki tangan di 1Malaysia TV khususnya dalam membangunkan saluran itu ke tahap lebih baik."Pelancaran baru-baru ini untuk menghebahkan mengenai kewujudan 1Malaysia TV dan segala komen mengenai penonton di laman web kami atau pun di Facebook adalah sangat dialu-alukan supaya kami boleh memperbaiki prestasi program disediakan," ujarnya.Sementara itu, Cat berkata, penglibatannya di 1Malaysia TV juga adalah untuk membantu rakan-rakan seperjuangan yang tidak mendapat perhatian di stesen arus perdana dari segi promosi.Katanya, menerusi beberapa program baru yang bakal diterbitkan, pihaknya akan cuba membantu mereka dengan memberi pendedahan terutamanya kepada bakat-bakat baru yang ingin menempa nama dalam industri."Selain memberi pendedahan dan promosi kepada mereka, ia sekali gus dapat mengembangkan industri muzik tempatan ke stu tahap yang lebih baik," katanya.1Malaysia TV adalah siaran televisyen secara talian yang dimajukan oleh 1MediaIPTV Sdn Bhd yang boleh ditonton melalui telefon pintar, komputer tablet dan juga komputer riba.