suria

Tepis Segala Fitnah, Izreen Azminda Percaya Bakal Tunang

Izreen Azminda.
Izreen Azminda.
Izreen Azminda.

PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri Juvana, Izreen Azminda tetap akan menerima Mohammad Riza Baharuddin sebagai calon suaminya walaupun terdapat pelbagai tohmahan dan fitnah buruk dilemparkan kepada pemuda tersebut sebelum majlis pertunangan mereka pada Ahad.

Izreen berkata, dia meletakkan keyakinan seratus peratus terhadap Riza kerana dia telah pun menjelaskan mengenai hal peribadinya serta tuduhan terhadap e-mel yang disebarkan baru-baru ini.

"Setiap orang ada sejarah hitam tersendiri. Mungkin dia sudah berubah dan saya tidak peduli dengan apa juga kisah silamnya kerana dia adalah lelaki yang tidak seperti mana digambarkan.

"Saya menerima dia dengan hati terbuka dan penuh keyakinan. Saya tidak akan menilai siapa dirinya sebelum ini," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat.

Dalam pada itu, Izreen berkata, dia mendapat tahu mengenai perihal e-mel yang memfitnah Riza daripada rakan-rakanya yang membaca dalam blog hiburan dan tidak terkejut dengan dakwaan yang dilemparkan.

Izreen berkata, sepanjang berkawan dengan Riza, dia mendapati lelaki berstatus duda anak satu itu adalah seorang yang baik dan selesa bersamanya.

"Saya hanya mendapat tahu mengenai e-mel berkenaan semalam (Rabu) dan telah meneliti kandungan e-mel itu.

"Mana-mana perkara yang benar bagi saya biarlah itu menjadi sejarah hidupnya dan fitnah dilemparkan pula bagi saya adalah tidak adil untuk kami berdua terutamanya di saat kami ingin melangkah ke fasa baru dalam hubungan kami," katanya.

Terdahulu, blog hiburan mendedahkan mendapat maklumat daripada seorang individu dengan gelaran MJ mendakwa Riza pernah berkahwin dengan bekas isteri kepada seorang pelakon lelaki popular.

Selain itu, Riza didakwa masih menyimpan foto dan video percutian bersama kekasihnya dikenali sebagai Rafeda semasa masih bergelar suami kepada isteri pelakon lelaki berkenaan.

E-mel tersebut turut merayu kepada Izreen untuk bersemuka dengan wanita yang pernah dikaitkan dengan Riza itu.

Sementara itu, bercerita mengenai majlis pertunangannya yang bakal berlangsung di Alor Setar, Kedah pada Ahad, Izreen membritahu, segala persiapan telah pun dibuat dan hanya menanti detik bergelar tunangan orang.

Katanya, majlis pertunangan itu nanti akan diadakan secara sederhana dan bakal dihadiri oleh keluarga kedua belah pihak.

"Sejujurnya saya gementar untuk menanti hari pertunangan itu dan berharap segalanya berjalan dengan lancar," ujarnya.

Izreen berkata, dia dan Riza berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan sebelum Hari Raya Aidilfitri depa jika jadual kerjaya mereka tidak padat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain