suria

Shahrizal Jaszle Buat Hal Di Lokasi 'Atas Nama Cinta'

Shahrizal Jazle
Shahrizal Jazle
Shahrizal Jazle

PETALING JAYA: Penggambaran drama Atas Nama Cinta yang dijalankan di Perth, Australia pada awal Januari lalu berhadapan dengan cabaran apabila berlaku pelbagai masalah melibatkan pelakonnya, Shahrizal Jazle atau sebelum ini dikenali sebagai Shahz Jaszle.

Pengurus Produksi, Zeel Production, yang dikenali Fendi London berkata, antara masalah tersebut ialah kesukaran Shahrizal memenuhi jadual penggambaran dan juga pernah tertinggal kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Perth.

"Memang kami sering berhadapan masalah masa dengan Shahrizal lebih-lebih lagi dia sukar untuk bangun pagi kerana mempunyai masalah sukar tidur malam.

"Justeru itu, jika penggambaran bermula di waktu pagi, pihak produksi perlu mengingatkannya sebelum tidur.

"Ada kalanya dia tepati masa, ada kalanya dia 'terbabas' dua hingga tiga jam," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Tambah Fendi, Shahrizal juga perlu diawasi kerana sering menghilangkan diri apabila bertukar lokasi.

"Memang karakternya sedikit kebudak-budakan kerana kami perlu mengawasinya. Cuma apa yang bagus tentang Shahrizal, dia tidak akan bersuara jika dimarahi pengarah atas kelewatannya itu. Kami bangga lakonannya juga memuaskan hati semua pihak," ujarnya.

Bagaimanapun kata Fendi, masalah itu bukanlah perkara besar buat mereka kerana jadual penggambaran dapat berjalan pada waktu yang ditetapkan.

Malah apa yang penting katanya, Shahrizal berjaya menghasilkan mutu lakonan yang amat baik sekali dalam drama bersiri itu.

“Walaupun timbul masalah, ia dapat diatasi dengan baik,” jelasnya.

Drama yang menjalani penggambaran selama dua minggu di Australia tersebut turut disertai pelakon utamanya, Shah Iskandar, Fiza (Elite), Tasha Shila dan Aida Aris.

Atas Nama Cinta mengisahkan tentang cinta tiga segi di antara Cinta (Fiza), Ghaz (Shah), Tengku Farezz (Shahrizal) dan Balkish (Tasha Shila).

Cinta dan Ghaz mula berkawan sejak kecil lagi dan sering melindungi Cinta jika diganggu oleh kanak-kanak nakal di kampung.

Kemudian, timbullah bibit-bibit cinta antara kedua-dua mereka. Bagaimanapun cinta mereka tergantung apabila Ghaz dibawa lari oleh keluarga angkatnya ke Perth. Cinta pula ditipu kononnya Ghaz telah meninggal dunia dalam kemalangan.

Selepas 15 tahun berlalu, Cinta berpeluang untuk menyertai sebuah kursus di Perth selama dua minggu lalu bertemu lelaki yang pernah menyelamatkannya dahulu, Tengku Farezz.

Farezz memperkenalkan Cinta kepada teman karibnya, Ghaz. Bermula di situlah, Cinta dan Ghaz merasai sesuatu bahawa mereka pernah mengenali antara satu sama lain.

Drama yang diarahkan oleh Shaffi Khan (episod 1 hingga 6) dan Raja Ahmad Alauddin (episod 7 hingga 24) itu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis bermula 13 Februari 2012.

Ia harus ditonton oleh seluruh peminat drama.

Artikel Berikut

Artikel Lain