suria

KAFA Kutip Dana Bantu Sazali P.Ramlee

Sazali P.Ramlee. Foto SENSASI SELEBRITI
Sazali P.Ramlee. Foto SENSASI SELEBRITI
Sazali P.Ramlee. Foto SENSASI SELEBRITI

KOTA BAHARU: Anak angkat kepada Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Sazali, 53, akan menerima wang sumbangan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), hasil jualan tiket dan kupon Karnival Akademi Bola Sepak Al-Hamra Red Warriors (ARMY) yang akan diadakan Sabtu ini.

Naib Presiden KAFA, Datuk Ismail Mat Nor berkata, langkah itu adalah sebagai tanda prihatin persatuan terhadap kesusahan yang dialami Sazali, yang kini terlantar sakit berikutan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan tisu lututnya terkoyak.

"Tiket bagi menonton perlawanan antarabangsa antara Kelantan dan Angkatan Bersenjata Singapura pada 9 malam, Sabtu ini, dijual pada harga RM2 bagi tempat terbuka dan RM20 untuk astaka," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Media baru-baru ini melaporkan tentang nasib Sazali yang sebelum ini bekerja sebagai tukang sapu di Semenyih, Selangor, kini hilang sumber pendapatan apabila terpaksa bergantung kepada tongkat dan kerusi roda untuk bergerak selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

Selain Sazali, para penyokong The Red Warriors yang berada dalam kesusahan turut mendapat bantuan tersebut.

Tambah Ismail, pada karnival itu juga, 300 peserta remaja berumur bawah 14 tahun dan 16 tahun akan berentap dalam pertandingan bola sepak di sebelah pagi bagi mencari bakat baru untuk membentuk pasukan pelapis di peringkat negeri dan antarabangsa.

"Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga bersetuju untuk memantau pasukan yang baru dibentuk itu manakala pemain yang bertuah juga akan dibawa ke Old Trafford, England bagi menyaksikan perlawanan Manchester United dalam Liga Inggeris.

"Karnival itu juga akan menyaksikan perlawanan bola sepak di antara pasukan yang terdiri daripada selebriti seperti Danny X-Factor, Yantzen dan beberapa lagi dengan pasukan orang kenamaan Kelantan yang disertai oleh Anggota Majlis KAFA, ketua jabatan dan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri," katanya.

Akademi di bawah KAFA itu ditubuhkan pada Mac tahun lalu, bertujuan bagi mengenal pasti bakat baru dari usia bawah 14 dan 16 tahun di Kelantan. - BERNAMA

Artikel Lain