suria

Ezad Mengaku Sukar Kikis Imej Exist

Ezad Lazim.
Ezad Lazim.
Ezad Lazim.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ezad Lazim atau nama sebenarnya, Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim, 33, mengakui sukar untuk mengikis imej Exist sejak keluar daripada kumpulan tersebut lima tahun lalu.

Ezad yang juga merupakan bekas vokalis Exist berkata hal tersebut membuatkan konsep lagu dalam album terbarunya yang berjudul Mengharap Bintang seakan serupa ketika dia bersama kumpulan itu sejak tahun 1994.

"Diakui saya tidak boleh lari daripada bayangan Exist, kerana jiwa saya sudah sebati dengan genre pop rock 1990-an.

"Saya pernah membawakan lagu-lagu berkonsep lain, dengan harapan saya dapat kikis imej Exist dalam diri. Tetapi jujur saya katakan, ia agak sukar," katanya pada pelancaran album sulungnya, Mengharap Bintang di RedBox Sogo, di sini, Selasa.

Tambah Ezad, dia bersyukur kerana peminat-peminatnya tidak keliru dengan penampilan solo yang ditonjolkan dan masih mengharapkan dia kekal dengan konsep lagu lama.

Album yang diedarkan menerusi Universal Music Malaysia sejak 10 Februari lalu itu mempertaruhkan lima lagu baru iaitu Mengharap Bintang, Gambaran Sebuah Rindu, Kau dan Aku Yang Dulu, Tiba-Tiba Teringat serta single lagu popularnya, Percintaan Ini .

Ezad turut merakam semula empat buah lagu lama ketika bersama kumpulan Exist seperti Alasanmu, Dirantai Digelangi Rindu, Masih Terserlah Ayumu dan Mengintai Dari Tirai Kamar .

Lagu popular daripada kumpulan Spoon berjudul Rindu Serindu Rindunya turut dirakam semula untuk album ini.

"Sebenarnya, saya hanya ingin memuatkan lima buah lagu sahaja dalam album ini.

"Memandangkan album kompilasi lagu-lagu lama masih laku, jadi saya fikir, apa salah kalau saya merakam semula lagu-lagu popular itu.

"Tambah pula apabila pencipta-pencipta lagu tersebut adalah daripada kalangan rakan-rakan pemuzik, maka ia sedikit mudah daripada segi hak ciptanya," ujarnya.

Mengharap Bintang membariskan komposer-komposer hebat yang pernah bekerjasama dengan Ezad ketika bersama Exist lagi iaitu Saari Amri, Eddie Hamid dan Haron Ahmad selain dua pendatang baru, seperti Manusia Putih dan Ed Lazim.

Album ini turut diterbitkan dalam bentuk VCD Karaoke.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain