suria

Ahli Korporat Sumbang Wang Kepada 30 Artis Veteran

Barisan artis veteran yang menerima wang sumbangan. Foto DARREN TAN
Barisan artis veteran yang menerima wang sumbangan. Foto DARREN TAN
Barisan artis veteran yang menerima wang sumbangan. Foto DARREN TAN

KUALA LUMPUR: Atas dasar keprihatinan terhadap artis veteran yang kurang bernasib baik, seorang ahli korporat, Mohd Farid Yahya sanggup memberikan sumbangan sebanyak RM15,000 untuk dikongsi seramai 30 artis veteran.

Majlis penyampaian sumbangan dianjurkan bersama persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Hotel Adamson, di sini, petang Khamis.

Mohd Farid yang merupakan seorang ahli korporat muda berkata, dia terpanggil untuk memberikan sumbangan selepas melihat kesengsaraan hidup yang dilalui oleh penyanyi Zaiton Sameon.

"Saya merupakan peminat setia Zaiton dan apabila melihat hidupnya yang kurang senang, saya terpanggil untuk memberi sumbangan kepadanya dan juga artis-artis veteran lain.

"Nak diikutkan, saya tak mahu membuat sebarang majlis kerana ia merupakan sumbangan ikhlas daripada saya dan tak naklah orang kata saya cuba mahu menarik perhatian atau menunjuk-nunjuk," katanya.

Tambah Farid, dia berharap, sumbangan yang diberi itu akan menjadi ikutan kepada golongan yang berkemampuan untuk membantu artis-artis yang susah.

Pada majlis tersebut setiap artis menerima sebanyak RM500. Selain jumlah itu, Farid turut memberikan RM15,000 lagi untuk tabung Karyawan diagihkan kepada golongan artis yang memerlukan.

Antara artis veteran yang menerima sumbangan berkenaan ialah Zaiton Sameon, Zaleha Hamid, Datuk Yahya Sulong, MY Samsuddin, Samsudin Lamin, Ayati Tasrip, Aspalela Abdullah, Latifah Omar, Mimi Loma, Datuk M.Daud Kilau, Sinnapan, Hamid Gurkha dan Ruminah Sidek.

Sementara itu, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata memandangkan Mohd Farid ingin bekerjasama dengan pihak Karyawan lagi pada masa akan datang, pihaknya akan membantu ahli korporat itu untuk menubuhkan sebuah perniagaan produksi filem dan muzik pula.

"Ia masih lagi dalam perancangan. Saya dan Mohd Farid percaya, menerusi produksi yang ditubuhkan, artis-artis veteran yang tidak mempunyai pendapatan tetap dapat dibantu mengikut bidang masing-masing," ujarnya ringkas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain