KUALA LUMPUR: Pelakon Kamal Adli menjelaskan dia tidak pernah menyesal mengikat kontrak dengan Metrowealth International Group (MIG) yang dimiliki David Teo walaupun kurang mendapat projek di bawah syarikat itu.Kamal berkata, dia tidak perlu menyesal kerana keputusan untuk bersama MIG sebelum ini adalah kehendaknya dan bukan dipaksa oleh sesiapa. "Saya tidak pernah menyesal bersama MIG walaupun kadang-kadang berasa kecil hati dengan pihak pengurusan yang seakan-akan mengabaikan saya tanpa sebarang projek baru."Bagaimanapun saya perlu memahami bahawa mereka bukan menguruskan saya seorang tetapi hampir 100 artis lain yang bernaung di bawah MIG," ujarnya kepada mStar Online di sini, Rabu.Dalam pada itu, Kamal berkata, atas dasar itu juga dia tidak mahu duduk diam tanpa berbuat apa-apa sebaliknya turut mencari peluang lain tanpa terlalu mengharapkan syarikat pengurusannya.Kamal berkata, dia perlu melakukan sesuatu untuk membantu dirinya sendiri demi memastikan bakat lakonannya tidak disia-siakan begitu sahaja."Keutamaan diberikan kepada projek-projek daripada MIG tetapi jika tidak dipanggil (berlakon) takkan nak duduk diam saja, saya sendiri perlu bangkit untuk mencari peluang," katanya.Sementara itu, mengulas mengenai namanya yang semakin melonjak naik di Indonesia, Kamal berkata, dia bertuah kerana semakin diterima oleh peminat dan ia adalah baik untuk kariernya di negara itu.Kamal memberitahu, media di negara itu cukup fanatik dengannya tambahan pula dia digosipkan sedang hangat bercinta dengan pelakon gandingannya dalam filem Gerimis Mengundang iaitu Olivia Jensen Lubis."Kebetulan filem itu akan ditayangkan di Indonesia dan kecoh kononnya saya sedang bercinta dengan Olivia. Bagaimanapun saya menganggap ia sebagai satu promosi untuk saya dan filem itu nanti," ujarnya.Dalam perkembangan sama, Kamal berkata, dia masih belum bersedia untuk menerima sebarang tawaran berlakon di Indonesia walaupun ada beberapa projek sudah ditawarkan kepadanya.Kamal berkata, dia masih belum bersedia untuk mengembangkan sayap ke sana selain belum puas berlakon dengan produksi tempatan."Tawaran itu memang ada tetapi antara syarat yang perlu saya penuhi adalah perlu menguasai Bahasa Indonesia dengan baik yang mana saya rasa mengambil masa untuk melakukannya."Selain itu, saya masih belum bersedia dalam pelbagai aspek, daripada menimbulkan masalah kepada mereka lebih baik tolak secara baik," ujarnya.Pun begitu, Kamal berkata dia tidak menolak kemungkinan akan ke sana untuk mengembangkan sayapnya sebagai seorang pelakon.Dalam perkembangan lain, Kamal akan muncul dengan teater muzikal Gerimis Mengundang di samping pelakon Indonesia yang popular menerusi sinetron Nada Cinta iaitu Mikha Tambayong bermula 27 Mac sehingga 8 April depan di Panggung Sari, Istana Budaya.