Zaleha Hamid. Foto menarigogoKUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut popular 80-an, Zaleha Hamid menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduh kononnya artis veteran pada ketika ini hidup susah kerana terlalu boros semasa mereka muda.Sebaliknya, Zaleha berkata, kehidupan artis pada zaman dahulu tidaklah mewah seperti yang disangka, malah bayaran yang diterima hanyalah sekadar cukup makan. "Ramai yang anggap kami (artis-artis veteran) hidup dalam kemewahan, walhal pada zaman saya iaitu tahun 1970-an penyanyi yang mendapat bayaran paling tinggi adalah Allahyarham Datuk Ahmad Jais sebanyak RM80."Manakala bagi penyanyi yang sederhana macam saya hanya mendapat RM40 sahaja setiap persembahan. Bayangkan dengan wang tersebut, kami perlu bijak membahagikan kepada wang saku dan perbelanjaan pakaian untuk persembahan pentas," katanya.Tambah Zaleha yang popular dengan lagu Gadis Zaman Sekarang dan Hidup Miskin, dia juga menghadapi kesulitan yang sama apabila bayaran yang diterima akan diserahkan kepada ibunya bagi membuat perbelanjaan rumah."Memang diakui, agak sukar untuk artis seperti kami membuat simpanan wang masa depan. Itu pun kami bernasib baik kerana sudah disediakan tempat tinggal oleh syarikat naungan masing-masing," ujarnya.Bagaimanapun, penyanyi ini bersyukur kerana sehingga kini dia masih lagi mampu bekerja demi menampung kehidupan diri dan keluarga menerusi perniagaan menganjurkan pertandingan karaoke di Mersing, Johor.Selain itu Zaleha menyarankan kepada artis-artis muda sekarang supaya belajar menyimpan wang hasil daripada titik peluh mereka dalam kerjaya seni masing-masing."Mereka patut bersyukur kerana wang yang diterima beribu-ribu, lebih-lebih lagi yang memiliki pakej yang cukup."Saya ingin menasihati mereka supaya belajarlah menyimpan (wang) kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa akan datang," tuturnya.