Brenda.KUALA LUMPUR: Penyanyi baru iaitu Brenda menjelaskan dia tidak berasa kecewa apabila ada pihak mengutuk lagunya yang berjudul Mulut Longkang hanya kerana tajuknya yang kedengaran agak kelakar.Brenda, 18, berkata, dia optimis dengan kata-kata negatif masyarakat terhadapnya dan tidak akan berputus asa dalam mengejar impian menjadi seorang penyanyi terkenal. "Pada mulanya saya sedikit kecewa apabila ada pihak yang mengecam tajuk lagu itu tanpa mendengar dahulu apa sebenarnya di sebalik tajuk Mulut Longkang. Ia sebenarnya mempunyai elemen nasihat kepada individu yang suka menyebarkan fitnah kepada orang lain."Saya tetap optimis dengan pandangan negatif masyarakat dan tidak akan berputus asa," ujarnya kepada mStar Online.Dia bagaimanapun bersyukur kerana lagu tersebut telah membuatkan masyarakat ingin mengetahui mengenai dirinya dan seterusnya mendengar lagu tersebut.Dalam pada itu, Brenda memberitahu gembira apabila dipilih untuk merakamkan semula lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Slam iaitu Gerimis Mengundang untuk filem dan teater muzikal dari tajuk sama.Brenda berkata, dia berharap lagu itu dapat melonjakkan lagi namanya di kalangan peminat muzik tempatan namun enggan dibandingkan cara nyanyiannya dengan penyanyi asal."Hampir setahun saya dalam industri dan masih ramai yang belum mengenali saya. Jadi saya berharap dengan kemunculan lagu baru ini dapat melonjakkan nama saya di kalangan penggemar muzik tempatan," ujarnya.Dalam perkembangan lain, Brenda memberitahu selain Gerimis Mengundang, dia turut muncul dengan single terbaru berjudul Manusia Biasa dan akan turun padang bagi mempromosikan lagu itu.