suria

Fiffy Natasya Buka Tudung Bukan Kerana Bidang Seni

Fiffy Natasya memang tidak bertudung sejak dulu. - Foto oleh GLENN GUAN
Fiffy Natasya memang tidak bertudung sejak dulu. - Foto oleh GLENN GUAN
Fiffy Natasya memang tidak bertudung sejak dulu. - Foto oleh GLENN GUAN

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi remaja Fiffy Natasya (Fify) menjelaskan dakwaan yang mengatakan dia membuka tudung semata-mata untuk menceburi bidang seni berpunca daripada salah faham segelintir pihak yang tidak mengetahui perkara sebenar.

Fify atau nama sebenarnya Fiffy Natasya Suhaimi, 19, berkata dakwaan itu timbul kerana pada usia lapan tahun, dia pernah bertudung ketika menyertai kumpulan Wardah dan mengeluarkan tiga buah album kerohanian dan doa.

“Hakikatnya, dalam kehidupan sebenar, saya memang tidak bertudung. Cuma kebetulan ketika zaman kanak-kanak saya pernah memakai tudung kerana terlibat dalam projek lagu-lagu kerohanian.

“Saya tidak perlu hipokrit dan mengakui saya tidak bertudung. Jadi dakwaan yang mengatakan saya membuka tudung semata-mata untuk menceburi bidang seni adalah tidak betul,” katanya ketika ditemui mStar Online di Menara Star, di sini, Isnin.

Pelakon yang semakin dikenali selepas membintangi drama popular Vanilla Coklat di TV3 ini berkata, dia tidak mahu merunsingkan fikirannya dengan apa pun pandangan atau kritikan orang ramai kerana dia sentiasa peka terhadap gerak-gerinya.

“Saya tidak kisah apa juga orang hendak cakap tentang saya kerana saya tahu apa yang dilakukan sentiasa berada pada landasan yang betul serta dipantau oleh ibu bapa.

“Tidak bertudung bukan bermakna saya berkelakuan liar atau nakal. Saya jarang keluar bersiar-siar kecuali dengan keluarga jadi rasanya tidak timbul isu yang boleh mengaitkan saya dengan kontroversi atau perkara-perkara negatif,” katanya.

Gadis yang dikenali dengan lagu Kawaii sebelum ini berkata selepas hampir 10 tahun menceburi bidang seni, dia masih berusaha untuk mengukuhkan namanya sebagai bakat pelapis dunia hiburan tanah air.

“Kalau diikutkan, saya sudah mula berlakon pada usia 10 tahun lagi dalam filem Cinta Kolestrol dan baru kebelakangan ini nama saya semakin dikenali.

“Tidak dinafikan saya menerima tawaran lakonan yang berterusan tetapi kalau boleh, pada tahun ini saya mahu lebih dikenali dan berjaya,” kata pelajar jurusan Farmasi di Kolej Segi ini.

Drama terbaru lakonannya berjudul Pulau Pandan Jauh Ke bersama Aliff Satar kini disiarkan di Astro Warna (saluran 132), selain Tangisan Bulan Madu 2 (RTM) dan Mak Lang Datang Kompang Bergendang (TV3).

Fify juga baru sahaja menamatkan penggambaran dua buah filem Strawberi Cinta dan Left Wings yang dijangka ditayangkan pada 2013.

Artikel Lain