suria

Umar Uzair Martabatkan Sastera Melalui Nyanyian

Umar Uzair berhasrat untuk mempopularkan karya sastera dalam lagunya. Foto THE STAR Oleh KAMARUL ARIFFIN.
Umar Uzair berhasrat untuk mempopularkan karya sastera dalam lagunya. Foto THE STAR Oleh KAMARUL ARIFFIN.
Umar Uzair berhasrat untuk mempopularkan karya sastera dalam lagunya. Foto THE STAR Oleh KAMARUL ARIFFIN.

PETALING JAYA: Penyanyi baru yang juga seorang penulis buku, Umar Uzair mempunyai hasrat untuk memartabatkan kegiatan sastera menerusi penulisan lirik dan lagu nyanyiannya.

Umar, 25, berkata, dia ingin berbuat demikian setelah melihat generasi muda hari ini sudah mula melupakan karya-karya seperti puisi, gurindam dan penulisan dalam bahasa sastera tinggi.

"Saya ingin menjadi penyanyi bukan kerana mahu popular semata-mata tetapi ada misi yang ingin disampaikan iaitu ingin mempopularkan kembali karya sastera kepada golongan muda.

"Kebetulan saya sendiri seorang penulis, jadi untuk menarik minat mereka membaca dan mendengar bait-bait perkataan dalam penulisan sastera saya kira lagu dan nyanyian adalah medium terbaik," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Umar berkata, dia telah pun melancarkan single pertamanya yang berjudul Yang Aku Mahu dan memberitahu konsep lagu itu lebih kepada lagu puisi dengan menyuntik elemen pop dan jaz ke dalamnya.

Ujar Umar, dia perlu berani membuat pembaharuan dalam penghasilan lagu-lagu berbentuk puisi dalam menarik pendengar.

"Saya pernah mencuba bawa lagu berentak seperti rock, irama Malaysia dan sebagainya tetapi apabila bekas guru saya di Aswara iaitu Syafinaz Selamat memberitahu suara saya lebih kepada pop dan jaz jadi saya gunakan kelebihan itu untuk lagu tersebut," katanya.

Berhasrat untuk menghasilkan sebuah album penuh suatu hari nanti, Umar berkata dia tidak mahu terburu-buru walaupun ada mendapat tawaran daripada beberapa pihak.

Dia juga ingin berdikari tanpa terlalu bergantung harap kepada orang lain.

"Apabila kita buat semuanya sendiri saya percaya kita akan lebih menghargai setiap usaha dan hasilnya kelak," katanya.

Sementara itu, Umar menjelaskan, dia tidak berhasrat untuk meninggalkan dunia penulisan selepas memasuki dunia hiburan sebaliknya memberitahu akan bergerak seiring dengan kerjaya seninya.

"Saya bermula sebagai penulis dan akan tetap menjadi seorang penulis. Ini adalah salah satu cabang yang ingin saya gunakan untuk memartabatkan penulisan sastera," ujarnya.

Umar pernah menghasilkan dua buah buku berjudul Projek Lepas Sampai Mati dan Di mana Bulan Sorokkan.

Artikel Lain