suria

Arash Mohd Masih Popular Walaupun Jarang Muncul Di Akhbar

Arash Mohd.
Arash Mohd.
Arash Mohd.

KUALA LUMPUR Pelakon drama popular, Arash Mohd menjelaskan dia lebih selesa peminat mengenalinya kerana hasil kerja dan bukan disebabkan sering muncul di media.

Arash atau nama sebenarnya Azman Shah Ramlee, 43, berkata, walaupun jarang muncul di akhbar, majalah serta acara hiburan tetapi dia tetap bersyukur kerana masih ramai peminat yang menghargai hasil kerjanya sebagai seorang pelakon.

"Alhamdulillah walaupun kurang mendapat pendedahan dalam media massa tetapi rezeki saya dalam bidang lakonan tidak pernah putus.

"Kemunculan wajah saya di beberapa stesen yang menyiarkan drama lakonan saya adalah kira sebagai publisiti juga kepada saya walaupun jarang muncul di akhbar," ujarnya kepada mStar Online.

Arash ditemui selepas majlis tayangan episod terakhir Vanila Coklat bersama peminat di Restoran Rasta Taman Tun Dr Ismail di sini, Selasa.

Tambahnya, antara sebab lain dia lebih selesa menjalani kehidupan “low-profile” adalah kerana kurang gemar kehidupan peribadinya menjadi tatapan umum.

Arash berkata, dia sebolehnya tidak mahu mendedahkan mengenai kisah peribadinya kerana ia adalah privasi buat dia dan keluarga.

"Saya sedar kuasa media itu adalah besar kepada diri seseorang artis tetapi rasanya biarlah cerita mengenai kerjaya saya menjadi tatapan.

"Biarlah cerita peribadi saya simpan sebagai privasi saya tetapi bukanlah semua perkara kena rahsia," katanya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai kerjayanya sebagai pelakon, Arash berkata, dia tidak terlalu memilih watak sebaliknya menerima sesuatu tawaran mengikut usianya kini.

Arash memberitahu, sudah tiba masanya pelakon senior sepertinya memberi ruang dan laluan kepada artis-artis baru untuk menempa nama dengan watak-watak mencabar.

"Rasanya pada usia 43 tahun tak sesuai nak bawak watak pemuda berusia 25 tahun atau menjadi gengster. Biarlah watak yang diambil itu bersesuaian dengan diri saya.Watak-watak hebat lain kita beri peluang kepada pelakon muda pula," katanya.

Sementara itu, berkongsi sedikit tentang statusnya sebagai suami kepada Noor Afidahwati Mohamad, 33, Arash memberitahu dia bertuah kerana mendapat seorang isteri yang penyayang dan memahami dirinya sebagai seorang lelaki, suami dan pelakon.

Arash berkata, isterinya itu adalah pemangkin semangat buat dirinya dan perkahwinan yang sudah menjangkau usia empat tahun itu sentiasa dirasakan bagai berbulan madu.

"Asam garam dalam berumah tangga itu biasa bagi pasangan suami isteri tetapi isteri saya adalah yang terbaik buat diri saya kerana ciri-cirinya yang sentiasa memahami dan paling penting dia adalah pemangkin semangat buat diri saya," ujarnya.

Masih belum dikurniakan cahaya mata, Arash meletakkan perkara itu sebagai ketentuan daripada Allah dan gembira dengan kehidupannya kini.

"Anak itu rezeki daripada Allah dan kami berserah kepadanya dan itu tidak membuatkan kami sedih kerana ia menguatkan hubungan kami suami isteri.

"Seperti yang saya katakan setiap hari seperti waktu berbulan madu buat kami berdua," katanya.

Artikel Lain