suria

Yazer (AF3) Kecewa Kegagalan Album Pertama

Yazer kecewa apabila album pertamanya gagal mendapat sambutan di pasaran. Foto Ihsan KEE ZAIN.
Yazer kecewa apabila album pertamanya gagal mendapat sambutan di pasaran. Foto Ihsan KEE ZAIN.
Yazer kecewa apabila album pertamanya gagal mendapat sambutan di pasaran. Foto Ihsan KEE ZAIN.

PETALING JAYA: Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 3 (AF3), Mohd Yazer Yusof atau Yazer melahirkan rasa kecewa apabila album sulungnya berjudul Yazer, Raja & Rimba gagal mendapat perhatian peminat.

Yazer, 30, berkata, penantiannya selama lima tahun selepas keluar daripada AF3 untuk memiliki album sendiri lebur apabila album itu kurang mendapat sambutan kerana kegagalan promosi daripada syarikat rakamannya, Luncai Emas Sdn Bhd.

"Sejak keluar daripada AF3 impian saya untuk memiliki album sendiri dan apabila hasrat itu tercapai saya menjadi kecewa kerana kesungguhan saya nampak seperti sia-sia apabila ia tidak mendapat sambutan dan promosi yang sepatutnya," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Yazer, dia bertambah kecewa apabila album tersebut yang mendapat sentuhan daripada komposer terkenal Datuk M. Nasir adalah hasil yang cukup baik tetapi tiada langkah sewajarnya untuk memperkukuhkan album berkenaan.

"Hampir kesemua radio di negara ini langsung tidak memainkan lagu daripada album itu walaupun hasilnya cukup baik," ujarnya.

Dalam pada itu, Yazer berkata, dia tidak menyalahkan seratus peratus kepada pihak syarikat rakaman tetapi lebih menganggap rezekinya dalam bidang nyanyian masih belum bersinar.

Bagaimanapun kegagalan itu tidak langsung mematahkan semangatnya dalam mengejar impian sebagai seorang penyanyi yang berjaya pada suatu hari nanti.

"Walaupun kecewa dengan perkara itu ia tidak pernah melemahkan semangat saya kerana selepas keluar dari AF3 dulu pun saya tunggu lima tahun untuk keluar album pertama dan ia gagal.

"Rasanya tidak ada masalah untuk saya mencuba kerana saya bukan seorang yang cepat patah semangat," katanya.

Sementara itu, Yazer yang muncul dengan imej berambut pendek memberitahu, penampilan terbarunya itu adalah kelahiran semula dirinya dalam bidang seni selain sudah bosan dengan imej berambut panjang.

Yazer berkata, dia sedang merancang untuk menghasilkan single terbarunya dengan campuran muzik pop dan rock sebagai percubaan untuk menaikkan kembali namanya dalam bidang seni.

"Saya ingin mencuba genre pop pula untuk lagu itu nanti tetapi masih memasukkan elemen rock yang telah menjadi identiti diri saya dan berharap single itu dapat dilancarkan dalam tahun ini," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Yazer memberitahu dia akan mengadakan persembahan di Sabah Nite 2012 pada 17 Mac ini di Kompleks Belia & Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam bergandingan bersama rakan-rakan artis kelahiran Sabah antaranya Candy, Ekin dan Adam.

Artikel Berikut

Artikel Lain