PETALING JAYA: Pelakon dan pendatang baru, Fiffy Natasya Suhaimi menaruh keyakinan yang tinggi, album barunya yang berunsurkan muzik 'pop dance' dari Jepun dan Korea tidak lama lagi akan mendapat sambutan hangat.Kata Fiffy, proses pembikinan album yang bakal memuatkan 10 buah lagu itu kini dalam peringkat akhir dan dijangka akan dapat dipasarkan pada tahun ini. Fiffy memberitahu ketika dia mengeluarkan lagu single Kawaii yang bermakna “comel” dalam Bahasa Jepun pada penghujung 2010, penampilannya dapat diterima ramai."Selepas kejayaan album Kawaii, saya selesa untuk terus bekerjasama dengan komposer dan penerbit album bernama Nick. Kebetulan dia juga meminati muzik pop dance dari Jepun dan Korea, jadi dia faham apa yang saya mahukan,” kata pelajar bidang farmasi dari Kolej Segi ini.Pada masa yang sama, Fiffy juga memberitahu dia akan melakukan kelainan dalam kerjayanya sebagai artis iaitu muncul dengan dua imej bagi membezakan karakternya sebagai seorang penyanyi dan pelakon.Gadis yang baru berusia 18 tahun ini menambah, sejak awal pembabitannya dalam bidang seni kira-kira 10 tahun lalu, dia sudah memutuskan untuk dikenali dengan dua imej yang berasingan.Fiffy pertama kali muncul dalam filem Cinta Kolestrol pada tahun 2003 dengan memegang watak sebagai Erra Fazira ketika kanak-kanak.Katanya, untuk bidang lakonan dia selesa menggayakan imej kasual dan ringkas bersesuaian dengan imej remajanya.Manakala untuk imejnya sebagai seorang penyanyi, dia mahu berfesyen seperti bintang Korea dan Jepun."Untuk imej seorang pelakon, saya selesa menampilkan diri saya yang sebenar bersesuaian peringkat umur dengan berimej kasual.“Bagaimanapun kalau di pentas nyanyian, saya mahu orang lihat saya seperti bintang pop dari Korea dan Jepun kerana saya sangat meminati muzik dan fesyen dari kedua-dua negara itu,” katanya.Gadis ini berkata, dia yakin peminat tidak akan keliru dengan kemunculannya terhadap dua imej tersebut sebaliknya dapat melihat penampilan yang berbeza pada dirinya."Setakat ini tidak timbul soal keliru kerana langkah itu membolehkan peminat membezakan pembabitan saya dalam dua cabang yang berlainan itu," kongsi anak bongsu daripada dua beradik ini.