suria

Shiro Pernah Cuba Masuk Raja Lawak Sejak Musim Ketiga

Kumpulan Shiro.
Kumpulan Shiro.
Kumpulan Shiro.

PETALING JAYA: Juara program Raja Lawak musim ke enam, kumpulan Shiro mendedahkan mereka pernah cuba untuk menyertai pertandingan itu sejak musim ketiga.

Dianggotai oleh Shahrol Azizie Azmi dan Mohamad Hanaffi Razak, Shahrol, 27, bagaimanapun berkata, ketika itu mereka berdua tidak menghadiri uji bakat secara berkumpulan tetapi secara berasingan namun gagal untuk menjadi peserta akhir.

"Saya sejak musim ketiga kami telah pergi uji bakat dan untuk dua musim saya layak ke pusingan akhir di Kuala Lumpur tetapi tidak terpilih sebagai peserta akhir," ujarnya kepada mStar Online.

Shiro ditemui selepas pertandingan akhir Raja Lawak Musim Ke Enam di sini pada Jumaat.

Tambah Hanaffi, 25, mereka mengambil keputusan untuk bergabung semasa uji bakat musim ke enam untuk mencuba nasib sebagai sebuah kumpulan dan nyata rancangan itu berjaya sehingga menobatkan mereka sebagai juara.

Shiro menewaskan kumpulan Zero dan Cuit yang masing-masing ditempat kedua dan ketiga dan mereka berjaya membawa pulang hadiah sebanyak RM100,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.

Ujar Shahrol, mereka masih tidak tahu apa akan dilakukan dengan wang yang dimenangi tetapi memberitahu merancang untuk menyimpan bagi kegunaan masa hadapan.

Dalam pada itu, Shahrol memberitahu mereka masih belum membuat perancangan sama ada ingin meneruskan kerjaya sebagai pelawak dan pelakon atau kembali bekerja di tempat asal mereka.

Kedua-dua mereka adalah penjawat awam yang mana Shahrol bekerja di Jabatan Imigresen Malaysia manakala Hanaffi adalah seorang tentera laut di Tentara Laut Di Raja Malaysia (TLDM).

"Kami masih belum membuat keputusan lagi kerana tidak menyangka akan sampai ke tahap ini. Bagaimanapun untuk tawaran dalam bidang hiburan kami serahkan kepada pihak Astro yang menentukan untuk kami," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai 'badi' kumpulan seperti mereka akan berpecah seperti mana terjadi kepada Sepah dan Kechik, Shahrol berkata perkara itu tidak mungkin berlalu kerana pertalian persaudaraan yang ada di antara mereka.

"Kalau berpecah pun saya dan dia nak lari ke mana kerana kami adalah sepupu. Pusing-pusing balik tetap akan berjumpa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, pihaknya akan menerbitkan program susulan untuk juara Raja Lawak itu selain tidak mengabaikan peserta lain yang tidak berjaya memenangi pertandingan itu.

Nizam berkata, Astro sentiasa membuka pintu buat mereka mengembangkan kerjaya dengan medium sesuai seperti saluran Astro Warna.

"Seperti mana juara musim yang lalu kita akan memastikan bakat mereka tidak disia-siakan begitu sahaja dan program susulan akan diterbitkan selain tidak melupakan peserta lain," ujarnya.

Artikel Lain