suria

Membelakangi Ketua, Harun Kesal Sikap Zed Zaidi

Harun amat terkilan dengan sikap Zed Zaidi yang dianggap mengetepikan peranannya sebagai Presiden Seniman.
Harun amat terkilan dengan sikap Zed Zaidi yang dianggap mengetepikan peranannya sebagai Presiden Seniman.
Harun amat terkilan dengan sikap Zed Zaidi yang dianggap mengetepikan peranannya sebagai Presiden Seniman.

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) iaitu Harun Salim Bachik kesal dengan sikap salah seorang ahli jawatankuasanya iaitu Zed Zaidi yang cuba membelakangkannya sebagai ketua.

Harun berkata, Zed yang merupakan Pemangku Presiden Seniman dan Ketua Biro Seniman Muda tidak pernah mengambil inisiatif untuk berbincang dengannya sebagai Presiden dalam melaksanakan apa juga aktiviti.

"Saya tidak pasti mengapa dia enggan bercakap, berbincang atau sekurang-kurangnya memaklumkan kepada saya apa yang sedang dia lakukan bagi pihak persatuan.

"Lihatlah apa terjadi kepada kekecohan yang berlaku mengenai isu cermin kereta gelap? Cadangan itu pun tidak pernah dibawa berbincang dengan saya sebaliknya saya hanya mengetahui daripada pihak lain.

"Apabila saya hubunginya baru dia jelaskan tetapi nampaknya sudah terlambat," katanya kepada mStar Online.

Harun berkata, tiga memorandum yang dihantar kepada pihak kerajaan bersempena Festival BN Youth baru-baru ini juga tidak melibatkan dirinya dan beliau amat kesal kerana diketepikan sedemikian rupa.

"Dalam hal-hal sebegini ketua perlu dimaklumkan dan perbincangan secara serius hendaklah dilakukan tetapi itu tidak berlaku kepada saya. Orang akan nampak seperti saya tidak buat kerja tetapi hakikatnya masyarakat tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," ujarnya.

Harun berkata, sidang media penjelasan mengenai cermin kereta gelap dan isu penyiaran gambar bogel artis oleh sebuah portal hiburan yang berlangsung pada Jumaat lalu juga tidak dimaklumkan kepadanya.

Harun memberitahu dia hanya mengetahui perkara tersebut daripada seorang ahli Seniman lain.

"Apa juga perkara yang dia ingin lakukan, saya sebagai presiden menyokong penuh kerana jelas dia begitu bersungguh-sungguh dalam membantu golongan artis tetapi peranan saya sebagai presiden tidak patut ditolak ke tepi.

"Saya berhak untuk mengetahui tentang apa yang sedang berlaku. Soal saya boleh datahng atau tidak, itu bukan soalnya kerana jika ada pihak media bertanya, sekurang-kurangnya saya tahu apa yang ingin dijawab bagi pihak dia atau persatuan," ujar Harun.

Harun menambah, dia masih tidak memahami mengapa Zed ingin membelakanginya dalam segala hal kerana hubungan mereka langsung tiada masalah sebelum ini.

"Sehingga saat ini saya boleh katakan saya langsung tidak bergaduh atau bermasam muka dengannya. Saya sendiri kurang pasti mengapa dia berbuat demikian.

"Saya tidak kisah jika dia ingin mendapat nama dalam setiap perkara yang dilakukannya tetapi jangan membelakangi persatuan," katanya.

Dia juga bercadang untuk bersemuka dengan Zed dalam masa terdekat bagi meleraikan apa yang dianggap sebagai salah faham supaya selepas ini mereka boleh bersama-sama berganding bahu aktif membantu semua ahli Seniman.

"Tak elok rasanya perkara ini berpanjangan kerana saya tidak pernah mempunyai masalah dengannya dan saya harap dia juga begitu.

"Apa-apa pun ini mungkin salah faham dan perjumpaan secara bersemuka diharap dapat menyelesaikan masalah ini," katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, dia tidak pernah membelakangi Harun setiap kali melakukan apa saja aktiviti di bawah persatuan tersebut.

"Setiap sidang media mahupun aktiviti yang dijalankan Seniman, saya akan memberitahu Harun selaku ketua saya dan setakat ini dia tahu semua perkembangan yang berlaku.

"Lebih-lebih lagi pada ketika ini, dia terlalu sibuk dengan kerja-kerja seninya, takkanlah Seniman akan senyap jika dia sibuk bukan? Jadi saya sebagai timbalannya, perlu melakukan sesuatu untuk menggerakkan persatuan," katanya.

Tambah Zed Zaidi lagi, kekerapannya yang tampil membuat kenyataan tanpa Harun bukan kerana ingin merebut jawatan presiden persatuan itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain