Taiyuddin BakarKUALA LUMPUR: Aktor Taiyuddin Bakar bertekad untuk menurunkan berat badannya dalam tempoh empat bulan akan datang bagi mengembangkan lagi bakat lakonannya.Pelakon berusia 27 tahun itu berkata keputusan itu adalah bertitik-tolak daripada keinginannya untuk menggalas watak-watak yang lebih serius dan mencabar selain komedi. “Sejak dua tahun berkecimpung dalam dunia lakonan arus perdana, saya disinonimkan dengan watak dan karya-karya berunsur komedi kerana keadaan fizikal yang tembam.“Saya terfikir sampai bila saya akan terus melekat dengan komedi sahaja kerana saya juga mahu menonjolkan sisi yang serius dan berbeza pula.“Saya tekad untuk menguruskan badan agar tampil lebih sihat dan segak bagi menawarkan variasi dalam lakonan saya,” katanya kepada mStar Online.Akuinya, bentuk fizikal yang ideal adalah salah satu aspek penting bagi pelakon untuk lebih berjaya dalam industri lakonan tanah air, selain kualiti lakonan yang baik.“Keputusan untuk menurunkan berat badan adalah inisiatif saya sendiri. Saya percaya trend industri lakonan kita memerlukan seseorang artis itu tampil segak dan ideal.“Malah, untuk terlibat dalam sesebuah filem aksi contohnya, fizikal yang ideal adalah kelebihan yang boleh ‘dijual’ kepada penerbit dan pengarah,” katanya yang mengamalkan diet dengan tidak mengambil nasi pada waktu malam.Terbaru, pemenang trofi Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-24 menerusi Hantu Bonceng ini terlibat dalam pementasan teater muzikal, Gerimis Mengundang sebagai pelakon dan penolong pengarah.Muzikal arahan Ahmad Idham yang membariskan gabungan pelakon Malaysia, Singapura dan Indonesia seperti Kamal Adli, Mikha Tambayong dan Shenthy Feliziana itu kini berlangsung sehingga 8 April depan di Istana Budaya.