Awal (kiri) dan bakal isterinya Scha.PETALING JAYA: Pengacara Awal Ashaari menganggap persiapan untuk majlis perkahwinannya dengan Scha Al-Yahya memberi makna yang besar kerana ia dapat dikongsi dengan para peminat menerusi sebuah program khas terbitan Astro iaitu Seia Sekata.Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari,31, berkata, program selama enam episod itu memaparkan detik manis beliau bersama bakal isteri melakukan persiapan sehingga pada hari pernikahan. “Dalam program itu peminat akan dapat melihat aktiviti kami membeli barang-barang keperluan untuk kahwin, mencuba pakaian pengantin, beli cincin kahwin dan banyak lagi,” katanya kepada mStar Online, di sini, Jumaat.Awal dan Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, akan bernikah pada 4 Mei depan di Hotel Pullman, Putrajaya.Program Seia Sekata disiarkan selama setengah jam pada setiap hari Jumaat, pukul 9.30 malam bermula 13 April lalu menerusi saluran Astro Ria.Pihak Astro Ria juga akan turut mengadakan siaran langsung untuk upacara akad nikah pada 4 Mei kira-kira pukul 9.30 malam.Awal berkata, menariknya dalam program tersebut, penonton akan dapat menyaksikan bagaimana dia dan Scha mencuba makanan perkahwinan mereka yang diadakan di atas kapal, di Tasik Putrajaya.Katanya, pada aktiviti itu, keluarga pihak lelaki dan perempuan juga turut serta yang mana suasana itu dapat merapatkan lagi hubungan keluarga berkenaan.Dalam pada itu Awal memberitahu ketika majlis perkahwinannya semakin hampir, jiwanya juga menjadi semakin stres tetapi segala masalah itu dapat diatasi dengan sebaik mungkin.