suria

Anzalna Sudah Berani Terima Watak Penting

Anzalna Nasir
Anzalna Nasir
Anzalna Nasir

PETALING JAYA: Pelakon baru Anzalna Nasir berkata dia semakin berani untuk menerima tawaran bagi watak utama dalam drama televisyen dan filem selepas hampir setahun bergelar pelakon.

Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Nasir, 24, berkata kepercayaan penggiat industri dan rakan-rakan artis terhadap potensi bakatnya mengukuhkan kepercayaan untuknya menyahut cabaran itu.

“Saya mula berani untuk menerima tawaran bagi watak utama dalam drama dan filem pada tahun ini.

“Sebelum ini, saya tidak yakin dan belum bersedia tetapi beberapa penerbit dan pengarah sering memberikan peluang itu,” akuinya ketika dihubungi mStar Online, baru-baru ini.

Bekas finalis pertandingan Dewi Remaja 2010 ini menambah, dia yang kini mula menerima tawaran watak utama dalam beberapa produksi drama dan filem melihat perkembangan itu sebagai satu platform yang baik untuk perkembangan kerjayanya.

“Atas kepercayaan dan sokongan tersebut, saya perlu mencabar diri untuk menggalas watak utama dalam sesebuah drama atau filem yang ditawarkan.

“Baru-baru ini, saya ditawarkan watak utama untuk drama Marhabah untuk TV3, Adam & Hawa (Astro) dan bakal terlibat dalam filem Dr K Kahwin Lima (KRU Studios),” katanya.

Ketika ditanya mengenai publisiti yang berkurangan sejak kebelakangan ini, Anzalna berkata dia semakin aktif dihujani pelbagai tawaran dan tidak berkesempatan untuk berkongsi perkembangannya dengan pihak media.

“Saya masih aktif berlakon. Memang saya akui agak menyepi kebelakangan ini kerana kesibukan saya di lokasi penggambaran.

“Lagi pun, tiada apa yang panas atau sensasi untuk diperkatakan kerana tiada kontroversi mengenai saya pun,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain