Harun Salim BachikKUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi pemilihan ahli jawatankuasa pada Mesyuarat Agung Seniman bagi penggal baru 26 Mei ini.Harun berkata, dia nekad membuat keputusan itu selepas merasakan tidak boleh memberi komitmen sepenuhnya terhadap persatuan tersebut kerana kesibukan kerja dan pada masa sama mempunyai beberapa masalah kesihatan. "Nampaknya tempoh masa saya untuk memegang jawatan Presiden tinggal 23 hari lagi dan saya tidak akan bertanding untuk mendapat tempat untuk mana-mana jawatankuasa dalam Seniman."Bukan mudah apabila diberi tanggungjawab sebagai presiden terutamanya, dengan kesibukan kerja-kerja lakonan dan pada masa sama mempunyai sedikit masalah kesihatan, sukar untuk saya membahagikan masa."Apa-apapun saya masih lagi ahli Seniman yang sentiasa menyokong perjuangan persatuan," katanya.Bagaimanapun, Harun menegaskan pengundurannya itu tiada kaitan dengan isu merajuk dengan timbalan persatuan itu, Zed Zaidi yang sering menjalankan aktiviti Seniman tanpa pengetahuannya malah kedua-dua mereka masih lagi berhubungan baik antara satu sama lain.Dalam pada itu, Harun memberitahu, sepanjang dua tahun bergelar presiden, dia berbangga kerana dapat membuat sedikit pembaharuan daripada segi mempertahankan pelbagai hak artis."Saya bersyukur kerana dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang presiden. Cuma, antara perkara yang masih lagi sukar diubah dalam persatuan itu sendiri ialah masih lagi tidak ada penyatuan yang kukuh antara ahli-ahlinya."Masih lagi ada konsep berpuak, namun ia boleh dikawal. Biasalah, apabila terdapat salah faham berlaku," ujarnya.Ditanya, siapakah yang layak menggantikannya sebagai presiden untuk penggal baru nanti, kata Harun, Zed mempunyai potensi besar dalam merebut jawatan itu lebih-lebih lagi apabila Zed cukup bersemangat dalam hal mendapatkan hak artis-artis tempatan ketika dia sedang sibuk."Setakat ini apa yang saya nampak, dia (Zed) memiliki potensi menjawat jawatan presiden Seniman kerana dia begitu berkobar-kobar dalam membantu hak-hak artis tempatan," katanya.Harun dipilih sebagai presiden Seniman pada 18 Disember 2010 setelah menang tipis sebanyak 78 undian berbanding Datuk Mustapha Maarof yang mendapat 74 undian pada pemilihan yang berlangsung di Pawagam Mini P.Ramlee, Kompleks Finas, Hulu Klang.